PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Gara-gara tidak berpuas hati urus niaga membeli kucing, dua lelaki tempatan bertindak luar batasan dengan menyamun mangsa di Bandar Utama, dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya terkesan video tular di laman sosial melibatkan kejadian samun dan hasil semakan mendapati satu laporan polis dibuat seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun pada Ahad.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, polis berjaya menangkap suspek merupakan dua lelaki tempatan.
"Polis merampas sebuah telefon bimbit jenama Iphone 14 Pro Max, dua ekor anak kucing jenis British Short Hair dan Munchkin, dua beg kucing dan dua kunci kereta dipercayai digunakan semasa kegiatan samun.
"Suspek berusia 27 tahun mempunyai satu rekod lampau, manakala seorang lagi berusia 29 tahun mempunyai empat rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kata beliau, kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, kertas siasatan telah dilengkapkan dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa.
"Kedua-duanya dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, namun kedua-duanya tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28