PERANG di Palestin yang melibatkan pejuang Hamas dan tentera Israel masih tidak berkesudahan dan menyebabkan kemusnahan yang sangat teruk berlaku terhadap kawasan yang didiami rakyat Palestin.
Bahkan lebih mengeruhkan keadaan, lebih sejuta orang awam yang berlindung di bandar Rafah kini mengalami krisis kemanusian yang dahsyat akibat misi bantuan yang disekat Israel.
Mereka juga kini tidak tahu ke mana lagi mahu dituju selepas tentera rejim turut menggempur bandar paling selatan Semenanjung Gaza itu.
Berikut kronologi sepanjang minggu lalu (sehingga 19 Februari):
12 Februari 2024
WASHINGTON - Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dennis Francis menyuarakan kebimbangan mengenai serangan Israel ke atas Rafah.
Tentera Israel merancang untuk melancarkan serangan darat di Rafah, sebuah kawasan yang menempatkan lebih sejuta orang yang mencari tempat perlindungan.
Serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, bekalan air bersih dan ubat-ubatan manakala 60 peratus infrastruktur rosak atau musnah, menurut PBB.
13 Februari 2024
WASHINGTON - Timbalan wakil tetap Afrika Selatan ke PBB, Marthinus van Schalkwyk menyuarakan kebimbangan berhubung serangan Israel ke atas Rafah.
Menurutnya, pengumuman operasi ketenteraan yang diperluaskan ke Rafah (kini telah bertukar menjadi kem pelarian) menyebabkan lebih ramai penduduk Palestin diusir dan mengancam mata pencarian yang hampir sudah tidak wujud.
Tindakan tersebut sama sekali mengabaikan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dikeluarkan pada 26 Januari lalu yang mengarahkan Israel untuk melaksanakan langkah sementara termasuk menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah-langkah menjamin bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk di Gaza.
14 Februari 2024
SHAH ALAM - Kawasan ‘selamat’ yang menjadi tempat perlindungan rakyat Palestin di Rafah tidak lagi aman apabila rejim Zionis membedil penempatan itu.
Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, tentera Israel semakin bertindak kejam apabila ada dalam kalangan mereka yang menyelinap masuk ke kawasan itu untuk mencederakan rakyat Palestin.
Beliau difahamkan Zionis menyamar menjadi rakyat Palestin semata-mata mahu mencederakan penduduk di Rafah dan dikhabarkan ada pergerakan ketenteraan Israel untuk menghapuskan penduduk Palestin secara total.
15 Februari 2024
ISTANBUL - Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan jumlah kematian pekerjanya di Gaza akibat serangan udara Israel kini mencecah 158 orang.
Kini hampir 1.5 juta orang berada di Rafah, lebih enam kali ganda penduduk berbanding sebelum 7 Oktober.
Jumlah trak bantuan yang memasuki Gaza masih jauh di bawah sasaran 500 sehari, selain kesukaran untuk membawa bekalan melalui Karem Abu Salem (Kerem Shalom) dan Rafah.
16 Februari 2024
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) sekali lagi mendesak sekutu kuatnya, Israel supaya menghentikan rancangan gila untuk melancarkan serangan berskala besar ke atas Rafah.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh dan tiada perikemanusiaan menegaskan beliau akan tetap meneruskan operasi di bandar paling selatan Genting Gaza tersebut atas alasan mahu menghapuskan Hamas.
Komuniti antarabangsa mengutuk keras rancangan zalim rejim Zionis itu memandangkan lebih separuh populasi Gaza yang hilang tempat tinggal kini berlindung di kawasan sesak tersebut yang meliputi kurang 20 peratus daripada saiz asal enklaf tersebut.
16 Februari 2024
RAFAH - Hospital terbesar Gaza yang masih berfungsi telah dikepung menyebabkan doktor dan pesakit berada dalam ketakutan ketika pesawat tentera Israel mula membedil Rafah.
Tentera Israel berkata, mereka mengepung hospital itu selepas mendapati pejuang Hamas bersembunyi di sana dan telah menahan lebih 20 orang disyaki pejuang Islam yang mengambil bahagian dalam serangan pada 7 Oktober lalu, sementara puluhan lain disoal siasat.
Bagaimanapun, Hamas menafikan pejuang mereka berada dalam bangunan hospital tersebut dan berkata, Israel melakukan pembohongan terang-terangan bagi menutup kemusnahan hospital itu.
17 Februari 2024
GAZA - Seramai 112 penduduk Palestin maut angkara tentera Israel manakala 157 lagi cedera dalam tempoh 24 jam di Semenanjung Gaza.
Jumlah korban yang direkodkan sejak Israel mula menceroboh Gaza pada 7 Oktober meningkat kepada 28,775 dan 68,552 lagi cedera.
18 Februari 2024
KAHERAH - Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi menolak sebarang penempatan warga Palestin ke negara itu, satu pendirian yang disokong oleh masyarakat antarabangsa.
Menurut kenyataan pejabat presiden, Abdel Fattah menerima gesaan untuk membincangkan usaha berterusan yang bertujuan mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza, 'bertukar tawanan' dan menyampaikan bantuan kemanusiaan.
19 Februari 2024
TEL AVIV - Israel mahu melancarkan kempen pencerobohan ganas ke atas bandar Rafah jika Hamas gagal membebaskan baki tawanan di Genting Gaza menjelang ketibaan Ramadan pada awal bulan depan.
Amaran terbaharu itu diberikan anggota Kabinet Perang, Benny Gantz selepas komuniti antarabangsa terus menentang rancangan yang dikhuatiri akan menyebabkan malapetaka lebih dahsyat di wilayah terkepung tersebut.
Katanya, operasi berskala besar itu kononnya akan dilaksanakan mengikut apa yang diminta sekutunya termasuk memudahkan proses pemindahan dan mengurangkan kadar kematian orang awam.
Angka kezaliman rejim Zionis meningkat hampir 29,000 orang manakala kira-kira 70,000 lagi cedera.