SHAH ALAM - Kemudahan pejalan kaki menyumbang kepada daya huni sesebuah kota sekali gus menarik syarikat multinasional (MNC) untuk membuka ibu pejabat serantau di Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, salah satu usaha MITI untuk meningkatkan ekonomi negara adalah dengan menarik lebih banyak MNC membuka ibu pejabat serantau dan pusat perkhidmatan global mereka di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
"Apakah salah satu kriteria yang dipertimbangkan MNC sebelum membuka ibu pejabat serantau? Daya huni atau liveability.
Tambah Zafrul, tidak dinafikan masih banyak lagi kawasan di ibu kota yang tiada laluan pejalan kaki yang sempurna dan selamat.
"Memang betul, banyak lagi kawasan di Kuala Lumpur yang tiada laluan pejalan kaki yang sempurna. Kalau tak ada laluan yang selamat dan selesa, macam mana kita nak galakkan orang berjalan kaki.
"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memang sedar kekurangan ini dan insya-ALLAH, akan berusaha untuk menambah laluan pejalan kaki di lokasi yang bersesuaian.
Menurut beliau, setakat ini, MITI dan agensinya telah berjaya menarik lebih 130 syarikat multinasional global terkemuka ke Greater KL seperti Honeywell, Cognizant, dan Chery.
"Ia mewujudkan lebih 19,000 pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia dengan purata gaji bulanan RM13,000," jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberi maklum balas terhadap kenyataan Zafrul di ruangan komen, beliau berkata, perkara itu memang dalam perancangan.
"Betul, kita kini dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon. Jadi, kita akan sokong dengan fasiliti yang diperlukan untuk menggalakkan lebih ramai warga berjalan kaki.
"Kita perincikan dan laksanakan. Insya-ALLAH, kami sedang mengusahakan perkara ini," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28