KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Sebuah keluarga di Kampung Penambang, Pantai Cahaya Bulan yang mengalami kejadian api misteri mendakwa menerima pesanan bertulis daripada makhluk ghaib.
Pesanan 'tamat hari nie' itu didakwa ditulis di papan putih di bilik ketiga rumah baharu mereka semalam.
Gadis berkenaan, Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 21, berkata, hal itu disedari oleh adik perempuannya Wan Nor Fatini, 19, sebelum memberitahu kepadanya yang kemudian melihat sendiri tulisan di dalam bilik berkenaan.
"Sebelum muncul tulisan tersebut (tamat hari nie) sudah tiga hari kami sekeluarga tidak didatangi ataupun diganggu apa-apa kebakaran daripada api misteri.
"Kejadian terakhir hanya berlaku pada jam 9 malam Ahad lalu apabila kain dan bantal di dalam rumah ini terbakar, selepas itu tidak ada lagi gangguan api misteri sehingga jam 4 petang hari ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Wan Nor Fatihah tinggal di rumah itu bersama nenek, Zainab Sulaiman, 82, ibu, Ropeah Zakaria, 52, abang, Wan Mohd Faiz, 23, dan Wan Nor Fatini, 19, sejak tahun 2018 selepas kediaman lama mereka yang terletak tidak jauh dari rumah baharu itu terbakar dalam kejadian pada September 2017.
Kejadian ganjil ini mula menghantui keluarga berkenaan pada tahun 2012 iaitu dua tahun selepas kematian bapa Wan Nor Fatihah dan turut memusnahkan sebuah rumah ibu saudara gadis itu sebelum ini.
Nenek terkilan, cucu dituduh punca api misteri
Katanya, keadaan dirinya dirasakan sudah kembali normal dan sihat serta dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.
"Saya sudah membuang barangan yang terbakar dan menggantikan dengan barangan baru seperti tilam, selimut dan bantal yang dibeli menggunakan wang bantuan daripada orang ramai.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan keadaan saya dan saya harap selepas ini dapat keluar mencari pekerjaan kerana saya juga ada tanggungjawab untuk menjaga keluarga. Saya pun sudah sihat dengan tidur yang cukup dan berasa tenang, keluarga pun merasakan perkara yang sama,” katanya.