IPOH - Masalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku sejak awal bulan ini di Pulau Pangkor kembali pulih sepenuhnya pada Jumaat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masalah kebocoran di beberapa saluran paip rentas dasar laut yang menjadi punca kepada isu berkenaan telah berjaya diselesaikan susulan langkah-langkah mitigasi yang dilaksanakan oleh Lembaga Air Perak (LAP).
Menurutnya, susulan keadaan tersebut, Pulau Pangkor bersedia menerima semula kehadiran pelancong ke pulau peranginan itu.
"Dalam pada itu, paras kolam air di Pulau Pangkor menunjukkan trend peningkatan yang positif manakala kawasan-kawasan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan air termasuk Teluk Nipah, Teluk Dalam dan Sungai Pinang Kecil dilaporkan telah pulih sepenuhnya.
"Para penggiat pelancongan termasuk pemilik chalet dan rumah inap yang terjejas akibat masalah bekalan air juga sudah boleh kembali beroperasi seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Saarani berkata, selain kerja-kerja pembaikan, LAP juga telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi mengatasi masalah berkenaan termasuklah meningkatkan bekalan air ke daerah Manjung ke paras optimum.
Selain itu katanya, LAP turut melaksanakan pengezonan semula bekalan di kawasan yang terlibat dengan gangguan.
Jelasnya, lori tangki air dan tangki-tangki statik turut disediakan di lokasi-lokasi strategik.
Saarani berkata, walaupun situasi di Pulau Pangkor kembali pulih, LAP akan terus memantau kestabilan bekalan air di kawasan tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang terutamanya sepanjang kempen Tahun Melawat Perak 2024.
Sinar Harian pada 13 Februari lalu melaporkan gangguan bekalan air selama enam hari berturut-turut menjejaskan kehidupan penduduk dan industri pelancongan di beberapa kawasan di Pulau Pangkor.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28