Malaysia, Mesir sepakat beri tekanan heret Israel ke badan perundangan antarabangsa

Iklan
Mohamad Alamin mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya dari Mesir, Hamdi Loza di Kementerian Luar Mesir di Kaherah.

SHAH ALAM - Malaysia dan Mesir sepakat untuk meneruskan tekanan serta desakan di peringkat global untuk mengheret Israel ke badan perundangan antarabangsa atas kekejaman dan pencabulan undang-undang serta hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin.

Komitmen itu dinyatakan ketika Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatnya dari Mesir, Hamdi Loza di Kementerian Luar Mesir di Kaherah pada 22 Februari 2024.

Iklan
Iklan

Mohamad berkata, kedua-dua negara sepakat mencari penyelesaian gencatan senjata secara kekal selain penyaluran segera bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Tambah Mohamad, semasa pertemuan tersebut, beliau menyampaikan ucapan terima kasih Malaysia kepada Mesir atas sokongan dan kerjasama baik yang diberikan khususnya dalam memudah cara penghantaran bantuan kemanusiaan di bawah Ops Ihsan kepada rakyat Palestin di Gaza sekali gus mencerminkan hubungan akrab lagi istimewa di antara kedua-dua negara.

Iklan

"Ops Ihsan adalah usaha bersepadu yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia melibatkan kolaborasi lebih daripada 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibawah kelolaan Kementerian Luar Negeri.

"Ia sebagai tanda sokongan dan solidariti masyarakat Malaysia terhadap musibah yang menimpa rakyat Palestin di Gaza di samping mengetengahkan desakan di pelbagai forum antarabangsa supaya rejim zionis Israel menghentikan kekejaman khasnya di Gaza," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamad meluangkan masa menyantuni kira-kira 170 mahasiswa Malaysia di Mesir

Iklan

Pertemuan antara dua pemimpin itu turut disertai empat ahli Parlimen Malaysia, iaitu Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan) dan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Mohd Ramli, selain pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah serta pegawai kanan Kementerian Luar Mesir.

Menurut Mohamad, Hamdi dalam ucapan balasnya menyambut baik Lawatan Khas Ahli Parlimen Malaysia ke Mesir.

"Beliau mengakui sokongan padu dan pendirian lantang Malaysia berhubung isu Palestin sejak sekian lama diperingkat antarabangsa.

"Selain itu, saya juga diberi peluang melihat sendiri usaha Mesir dalam memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza semasa lawatan ke sempadan Rafah pada 23 Februari 2024," jelasnya

Sebelum mengakhiri pertemuan, Mohamad turut merakamkan penghargaan atas kerjasama Kementerian Luar Mesir mengaturkan panggilan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada Khamis serta lawatan Ahli Parlimen Malaysia ke sempadan Rafah, hari ini.

Selain itu, Mohamad turut meluangkan masa menyantuni kira-kira 170 mahasiswa Malaysia di Mesir sejurus tiba di Kaherah, Rabu lalu dalam satu sesi dialog.

"Dalam pertemuan itu, saya dan Ahli Parlimen lain memberikan penerangan mengenai usaha yang digerakkan kerajaan Malaysia dalam membantu rakyat Palestin, khasnya di Gaza melalui Ops Ihsan," katanya.