SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengemukakan tiga cadangan yang boleh dilakukan oleh kerajaan bagi mengukuhkan semula nilai ringgit.
Ahli Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai Ekonomi dan Kewangan PKR, Lee Chean Chung berkata, antaranya ialah pemantauan pembelian dolar Amerika Syarikat (AS) lebih ketat oleh pengimport dan menyemak dokumen perdagangan asas serta bukti pengiriman wang yang sah.
"Langkah itu penting bagi mengekang trend berkenaan, selain Firma Tersenarai Luar Negara (FLA) tidak boleh menyimpan mata wang tersebut untuk keuntungan dagangan pada masa kritikal ini.
Sebelum ini, nilai ringgit pada Selasa dilaporkan menghampiri paras terendah ketika krisis kewangan Asia pada tahun 1998 apabila mencecah paras 4.795 berbanding dolar AS.
Bagaimanapun, Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prestasi ringgit sejak kebelakangan ini, sama seperti mata wang serantau lain telah dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran.
Menurut beliau, sebahagian daripada faktor tersebut termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah AS, kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.
Dalam pada itu, Chean Chong turut mencadangkan supaya kerajaan mempercepatkan proses kelulusan tempatan untuk pelaburan langsung asing (FDI).
"Langkah itu penting untuk memudahkan mereka (FDI) menyediakan operasi dengan cepat di negara ini.
"Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga tidak sepatutnya memfokuskan kepada pelaburan yang diluluskan tetapi termasuk keseluruhan perjalanan pelaburan," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangkang dilihat menjadikan isu kejatuhan nilai ringgit sebagai polemik politik.
"Sudah tiba masa untuk Kerajaan Perpaduan melakukan pemantauan terhadap pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), MyDigital dan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) dengan lebih mendalam," tambah beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28