BAGAN DATUK - Kerajaan disifatkan gagal mengawal keadaan ekonomi negara sehingga menyusahkan rakyat.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, apa yang berlaku ketika ini merupakan situasi terburuk pernah dialami negara berbanding pentadbiran terdahulu.
Menurutnya, segala kenaikan harga barangan yang tinggi dan cukai amat membebankan rakyat.
"Kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang gagal segagalnya. Saya jadi menteri di bawah lima Perdana Menteri, saya tak pernah tengok harga barang semahal yang ada sekarang. Saya tak pernah tengok tarif elektrik semahal yang ada sekarang, saya tak pernah tengok cukai SST setinggi sekarang, saya tak pernah tengok mata wang jatuh serendah sekarang.
"Inilah saat yang paling dahsyat, paling sukar sekali bagi rakyat. Saya tidak menuduh, saya tidak menyerang peribadi. Saya hanya menyatakan fakta," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Ceramah Isu Umat dan Politik Semasa di Dewan Besar Markas Pas Kawasan Bagan Datuk, Selekoh di sini pada malam Khamis.
Hadir sama pada program tersebut, Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Datuk, Misbahul Munir Masduki.
Annuar berkata, masa telah diberikan kepada kerajaan untuk membuktikan kemampuan mentadbir negara namun masih belum melaksanakan janji yang dibuat sebelum ini.
Katanya, rakyat yang menjadi mangsa adalah golongan Melayu Islam selain kakitangan kerajaan.
"Sekarang dah masuk tahun lain, yang dijanji tak buat, yang tak dijanji pula lagi ditambah di tengkuk rakyat. Kenapa tak nak buat GST agar menutup lubang-lubang black economy dan pelari-pelari cukai.
"Orang Melayu Islam kerja kerajaan tak boleh berpencen lagi dah dan berbagai-bagai kesulitan, yang tertekan adalah kepada orang-orang Melayu," katanya.
Annuar turut mengkritik usaha dilakukan pihak tertentu yang mahu menetapkan harga beras RM30 sekampit.
Jelasnya, kerajaan harus mengawal harga beras tempatan pada harga RM26 bagi 10 kg dan bukan menjadikan harganya RM30.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28