Pemandu teksi, bas sekolah nikmati caruman PERKESO bermula Mac

Iklan
Anthony (tengah) ketika sidang media pada Majlis Sua Kasih Madani dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Malaysia di kementeriannya, pada Jumaat. Turut kelihatan timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Bermula bulan depan, seramai 35,000 pemandu teksi dan 18,000 pemandu bas sekolah dalam negara bakal menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Sua Kasih Madani Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini pada Jumaat, Anthony berkata, 90 peratus caruman itu akan dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kewangan manakala baki 10 peratus dibayar oleh MOT bagi tempoh setahun.

Iklan
Iklan

"Kita difahamkan Kementerian Kewangan ada memberikan satu dana kepada Perkeso sebanyak RM100 juta untuk mencarum sehingga 90 peratus bagi pemandu teksi, e-hailing, p-hailing dan sebagainya.

"Walaupun 90 peratus, tetapi 10 peratus perlu dicarum sendiri oleh pemandu sendiri, jadi untuk golongan ini, kita akan membuat caruman tambahan 10 peratus itu,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah untuk memberi perlindungan sosial kepada mereka iaitu sekiranya berlaku kemalangan, caruman itu akan membantu mereka dan keluarga.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, beliau sudah berbincang dengan Perkeso berhubung pelaksanaan insiatif terbabit selain meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyerahkan senarai pemandu dalam pangkalan data mereka kepada Perkeso untuk disemak silang.

Iklan

"Kita jangka Mac ini dapat lancarkan inisiatif ini, maksudnya pemandu teksi dan pemandu bas sekolah tidak perlu mencarum satu sen pun untuk setahun, mereka cuma perlu daftar nama mereka.

"Jika sudah daftar sebelum itu, kita akan bagi slip caruman mereka," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28