BEREGU lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun perlu fokus terhadap misi merebut tempat dalam skuad Piala Thomas 2024 selepas tidak disenaraikan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, minggu lalu.
Jurulatih negara, Tan Bin Shen berkata, beregu ranking ke-18 dunia itu berpotensi diturunkan sebagai pasangan kedua negara dalam Piala Thomas 2024 di Chengdu, China dari 28 April-5 Mei ini, sekiranya dapat membuktikan kebolehan dalam kejohanan yang disertai mereka selepas ini.
"Latihan mereka perlahan-lahan semakin baik, saya harap mereka dapat mengatasi tekanan serta rasa tidak yakin di gelanggang. Mereka perlu membuktikan kebolehan dalam kejohanan kerana kami memerlukan pasangan kedua yang kuat dalam saingan Piala Thomas.
"Selepas beberapa kali berbincang dengan mereka, saya nampak Wei Chong-Kai Wun faham yang mereka perlu keluar daripada berada di takuk lama,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, pada Jumaat.
Wei Chong-Kai Wun beraksi hambar pada permulaan musim ini selepas tersingkir awal dalam kesemua tiga kejohanan disertai termasuk tumpas pada pusingan kedua Masters Indonesia 2024 kepada wakil tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 18-21, 20-22, bulan lepas.
Gandingan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka dipertaruhkan sebagai beregu utama negara, manakala Wei Chong-Kai Wun akan bersaing dengan pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (ranking ke-12); Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (ranking ke-19) dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri (ranking ke-39) bagi merebut tempat ke Piala Thomas 2024.
Wei Chong-Kai Wun akan membuat perhitungan dengan pasangan Kanada, Kevin Lee-Ty Alexander Lindemann pada pusingan pertama Terbuka Perancis 2024 manakala lawan dari Jepun, Akira Koga-Taichi Saito menanti mereka pada pusingan pembukaan All England 2024.
Dalam perkembangan lain, Bin Shen berkata, walaupun tidak menetapkan sebarang sasaran spesifik buat Aaron-Wooi Yik pada Terbuka Perancis 2024 dan All England 2024, namun pihaknya sedang berusaha bagi membantu pasangan nombor satu negara itu mencapai kemuncak prestasi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris pada 26 Julai-11 Ogos ini.
Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai kempen Terbuka Perancis 2024 menentang Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman dan bakal membuat perhitungan dengan Sze Fei-Nur Izzuddin pada pusingan pertama All England 2024.
Terbuka Perancis 2024 di Paris akan bermula 5-10 Mac ini manakala kejohanan All England 2024 di Birmingham pada 12 hingga17 Mac ini. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28