KPDN serbu stesen minyak, penyeludup lari lintang-pukang

Iklan
Penyeludup lari lintang pukang apabila anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah stesen minyak di Kelaboran, Tumpat pada Khamis.

TUMPAT - Penyeludup bertindak lari lintang-pukang apabila anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah stesen minyak di Kelaboran di sini, pada Khamis.

Difahamkan, beberapa buah kenderaan yang leka membuat pengisian minyak petrol terus bertindak beredar secara berbahaya dan melulu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN, Azman Ismail berkata, pihaknya mengekori sebuah kenderaan jenis Proton Saga sejauh tujuh kilometer (km) dari stesen minyak berkenaan.

"Suspek bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran jambatan Sungai Nangka, Jalan Terbok-Kelaboran.

Iklan

"Ketangkasan pasukan operasi berjaya menahan suspek setelah mengejar sejauh 100 meter," katanya semasa dihubungi pada Jumaat.

Pemeriksaan lanjut berjaya menemui anggaran 75 liter minyak petrol disyaki disimpan di dalam tangki yang telah diubahsuai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang ditahan merupakan seorang pemandu dan berusia 23 tahun.

Iklan

Melalui soal siasat di tempat kejadian, suspek mengaku melakukan kegiatan penyelewengan terbabit dengan membawa minyak petrol ke pangkalan haram sekitar Tumpat untuk diseludup ke negara jiran.

Azman memberitahu, hasil tangkapan tersebut berjaya menyita anggaran 75 liter minyak petrol.

Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, dalam kes berasingan beliau berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan mencurigakan disyaki membawa muatan minyak petrol.

"Lokasi kejadian di jalan Kampung Neting, Pengkalan Kubor di mana suspek menghentikan kenderaan jenis Proton Saga dan bertindak melarikan diri ke dalam semak berhampiran tanpa dikesan.

"Pemeriksaan lanjut berjaya menemui anggaran 75 liter minyak petrol disyaki disimpan di dalam tangki yang telah diubahsuai bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Menurut Azman, pihaknya telah membuat sitaan kenderaan tersebut dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.