Bilangan penganggur berkurang kepada 580,700 tahun lalu - DOSM

Iklan
Bilangan penganggur terus menurun kepada 580,700 orang pada 2023 adalah paling rendah sejak pandemik, dengan kadar pengangguran 3.4 peratus.(Gambar hiasan) Foto 123RF.

PUTRAJAYA - Bilangan penganggur terus menurun kepada 580,700 orang pada 2023 adalah paling rendah sejak pandemik, dengan kadar pengangguran 3.4 peratus, menurut Sorotan Pasaran Buruh Suku Keempat 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia mencerminkan perkembangan ekonomi yang bertambah baik sepanjang suku keempat tahun itu dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat 0.6 mata peratus tahun ke tahun, mengekalkan kadar tertinggi iaitu 70.1 peratus berbanding suku sebelumnya.

Iklan
Iklan

"Bilangan tenaga buruh bertambah 2.2 peratus untuk merekodkan 16.91 juta orang pada suku keempat 2023, terutamanya didorong oleh kenaikan 2.5 peratus dalam penduduk bekerja, yang merangkumi 16.35 juta orang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pasaran buruh Malaysia terus bertambah baik pada suku keempat itu walaupun dalam persekitaran yang mencabar kerana permintaan dalam negeri yang lebih tinggi telah mewujudkan persekitaran yang menggalakkan kepada industri.

Iklan

"Ini menyebabkan peningkatan dalam pengeluaran yang disebabkan oleh pengembangan ekonomi hampir kesemua sektor. Hal ini menyumbang kepada permintaan buruh yang lebih kukuh meskipun dengan persekitaran luaran yang mencabar.

"Oleh itu, ekonomi Malaysia berkembang tiga peratus pada suku keempat 2023, lebih rendah daripada pertumbuhan 3.3 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.

Iklan

Mengulas situasi guna tenaga tidak penuh, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatatkan pertambahan 6.6 peratus berbanding suku sama pada tahun 2022, dengan sejumlah 286,100 orang.

Pada masa yang sama, katanya guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang merujuk kepada mereka berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah meningkat sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan 1.94 juta orang dengan kadar 37.4 peratus atau terdiri daripada lebih satu pertiga penduduk bekerja dengan pendidikan tertiari.

Dari sudut pandangan permintaan buruh, Mohd Uzir berkata, jawatan dalam sektor ekonomi mencatatkan peningkatan 2.1 peratus kepada 8.94 juta jawatan berbanding tahun lepas, dengan jawatan diisi merangkumi 97.9 peratus daripada jumlah jawatan berkembang 2.1 peratus kepada 8.74 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata, permintaan buruh di Malaysia terus bertambah baik pada suku ini ditunjukkan oleh pertumbuhan 0.6 peratus dalam bilangan pewujudan jawatan untuk memenuhi keperluan industri yang merangkumi 31,100 jawatan.

Seiring perkembangan ekonomi pada suku keempat 2023, produktiviti buruh yang diukur berdasarkan nilai ditambah per pekerja meningkat 0.5 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas untuk merekodkan nilai RM25,080 per pekerja.

Mengulas lanjut berkenaan prestasi keseluruhan pasaran buruh bagi 2023, beliau berkata, anggaran awal berdasarkan data purata bulanan menunjukkan bilangan penduduk bekerja meningkat 6.0 peratus kepada 16.31 juta orang pada 2023 berbanding 3.1 peratus atau 15.39 juta pada tahun sebelumnya.

Tambahnya bilangan tenaga buruh berkembang 5.4 peratus kepada 16.89 juta orang pada tahun lepas manakala kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.7 mata peratus kepada 70.0 peratus,” katanya menambah baki 30 peratus penduduk dalam umur bekerja dikelaskan sebagai luar tenaga buruh.

Walaupun menghadapi cabaran luaran pada 2023, permintaan buruh mengukuh dengan jawatan dalam sektor ekonomi meningkat kepada 8.94 juta dengan 126,500 jawatan telah diwujudkan pada 2023 yang tertinggi dalam siri masa dan melepasi bilangan yang direkodkan pada 2022 iaitu 116,700 dan 2021 (69,500).

Dari segi produktiviti buruh, dengan pertumbuhan ekonomi yang positif sebanyak 3.7 peratus pada 2023, produktiviti buruh per pekerja meningkat 0.9 peratus daripada 5.4 peratus pada 2022 untuk merekodkan RM96,692 per pekerja dengan 2022 mencatatkan RM95,858.

Melangkah ke tahun 2024, Mohd Uzir berkata, ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan permintaan luaran.

Menurutnya dalam keadaan tersebut, pasaran buruh dijangka kekal stabil pada suku akan datang, selari dengan perkembangan ekonomi semasa dan kemajuan teknologi yang terhasil daripada pelaburan bernilai tinggi yang disokong oleh inisiatif kerajaan yang berterusan.

"Dengan pendekatan proaktif untuk menangani cabaran dan memanfaatkan peluang, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan momentumnya dan memupuk pertumbuhan inklusif bagi kesemua segmen masyarakat.

"Namun begitu, prospek itu tertakluk kepada potensi cabaran global dan domestik serta trend pasaran yang berubah-ubah berpunca daripada situasi luar jangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan,” katanya. - Bernama