KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah melalui perkhidmatan kurier dengan merampas sebanyak 205 kilogram dadah jenis methamphetamine di Penampang.
Rampasan yang dilakukan pada 12 Februari lalu itu merupakan yang terbesar pada tahun ini membabitkan nilai berjumlah RM6.85 juta.
Penolong Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan itu adalah hasil daripada maklumat dan risikan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) di sebuah gudang parcel di Penampang.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 205 kilogram dianggarkan bernilai RM6.85 juta yang dibungkus dengan pembungkus plastik pelbagai warga," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Penguatkuasaan JKDM Sabah pada Jumaat.
Menurutnya, tiada sebarang tangkapan dibuat namun siasatan diteruskan bagi mengesan pemilik serta pengirim dadah terbabit.
"Pengedar menggunakan perkhidmatan parcel di mana penuntut membuat tuntutan secara pungutan di alamat ejen parcel itu sendiri.
"Kita percaya modus operasi sindiket ini adalah mengedar dadah dengan menggunakan perkhidmatan kurier dan memasukkan bungkusan plastik pelbagai warna bagi mengelak dadah ini dapat dikesan pihak berkuasa. Dadah ini menggunakan kargo udara dari Semenanjung ke Kota Kinabalu," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nasir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika disabit kesalahan.
"Untuk tahun 2024, ini merupakan kes yang terbesar dan kejayaan terbesar JKDM Zon Sabah dengan tangkapan ini.
"Sekiranya dadah ini terlepas ke pasaran dianggarkan boleh menjejaskan lebih 600,000 penagih dadah," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kepada orang ramai agar terus membantu menyalurkan maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dadah, minuman keras, rokok dan sebagainya.
"Kegiatan ini bukan saja merugikan negara tetapi turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28