TIDAK dinafikan, jenama-jenama besar telefon pintar berlumba-lumba menghasilkan fitur dengan pengemaskinian lebih terkehadapan bagi memenuhi selera pengguna.
Sudah pasti antara yang diberi penekanan hebat adalah penghasilan foto yang berkualiti setaraf dengan kamera jurufoto profesional.
Formula itu nampaknya serba menjadi disebabkan pengguna dunia sangat mendambakan ciri itu agar gambar yang dimuat naik melalui media sosial tampak lebih elegan. Faktor-faktor lain bukan tidak diperhalusi, namun spesifikasi asas itulah yang menjadi keutamaan selain variasi inovasi lain.
Baru-baru ini, sebuah firma yang khusus menjalankan penyelidikan mengenai telefon pintar, Counterpoint Research mendedahkan kepada umum telefon pintar terbaik dunia dan meraih jualan tertinggi di seluruh dunia.
Sememangnya mudah untuk diramal. Jenama Apple yang menjadi kegilaan ramai mendominasi carta. Model jualan yang memberangsangkan dan berjaya memberi sumbangan satu perempat keuntungan menjadikan iPhone XR terus kekal di tangga pertama Counterpoint Research 2019.
IPhoneXR bukan sahaja menunjukkan jualan paling tinggi dalam suku ketiga 2019 dengan penjualan sebanyak 3 peratus malah mempunyai rekod cemerlang dalam kelasnya tersendiri.
Berdasarkan kajian itu, jenama milik syarikat teknologi multinasional Amerika Syarikat yang berpangkalan di California telah mempamerkan rekod cemerlang sejak tahun 2018.
Jenama seterusnya sememangnya sudah dijangka iaitu Samsung apabila syarikat itu mampu meletakkan tiga model varian Galaxy A dalam senarai 10 terbaik.
Siri Galaxy A yang sebelum ini dikenali dengan varian Galaxy J menjadi jenama paling popular sepanjang tahun 2019 kerana spesifikasi kamera dan bateri yang lebih baik pada harga berpatutan.
Kebangkitan jenama Oppo memang sangat dibanggakan. Barangkali strategi pengiklanannya yang menyeluruh membuatkan Oppo meraih perhatian dunia.
Peranti itu dikatakan menjadi seleksi penggemarnya terutama kaki swafoto lantaran penghasilan foto yang berkualiti tinggi. Ternyata,
estetika teknologi seperti ColorOS, Oppo Cloud dan Oppo + memberi tambah nilai kepada jenama tersebut.
Bagaimana pula dengan Huawei yang mempunyai ramai peminat di Malaysia? Seperti yang heboh diperkatakan, pada pertengahan tahun lalu, perang teknologi antara China dan Amerika Syarikat (AS) menggegarkan dunia telekomunikasi.
AS dikatakan begitu takut akan bayang-bayang sendiri dengan kehebatan teknologi China melalui syarikatnya Huawei yang jelas mencabar hegemoni Amerika Syarikat melalui syarikat ikoniknya dalam dunia teknologi komunikasi, Apple.
Situasi panas itu sememangnya mempengaruhi prestasi Huawei. Masakan tidak, menerusi kajian Counterpart, Huawei menduduki tempat ke-10. Faktor utama disebabkan jualan yang kurang memberansangkan.
Bagaimana pula dengan jenama-jenama yang biasa kedengaran oleh kita. Berikut senarai yang dikeluarkan secara rasmi oleh Counterpart yang menghuraikan ciri-ciri teknologi yang diterapkan pada jenama masing-masing.
1-iPhone XR
Tidak dapat disangkal spesifikasi peranti canggih sama seperti varian iPhone lain dan mungkin harganya yang lebih rendah menjadi pilihan ramai.
Dengan skrin yang luas, ia membolehkan bateri yang lebih dimuatkan dan menjadikan jangka hayatnya lebih lama berbanding iPhone 8 Plus dan XS Max.
Selain memiliki penstabil imej optikal, kualiti gambar iPhone XR tidak jauh berbeza dengan iPhone XS selain didatangkan dengan kamera hadapan, TruDepth Camera 7MP F2.2 dengan kuasa Smart HDR.
2-Samsung Galaxy A10
Boleh dikatakan peranti pintar tersebut hadir pada harga yang cukup mampu milik.
Galaxy A10 didatangkan dengan perincian cip pemproses Exynos 7884 dan mempunyai memori 2GB RAM selain dioperasikan sistem antara muka One UI berasaskan Android Pie menjadi kekuatan kepada 'karakter' telefon pintar itu.
Bukan sahaja dikuasakan cip Exynos 7884 dan memiliki paparan skrin Infinity-V bersaiz 602 inci, peranti keluaran syarikat konglomerat multinasional Korea Selatan itu memiliki lapan teras kuasa untuk kelancaran operasi dalaman.
Meskipun didatangkan dengan satu kamera belakang bersaiz 13 mega piksel (MP) f/1.9 dan satu kamera hadapan 5MP.
3-Samsung Galaxy A50
Satu lagi model keluaran Samsung yang dilengkapi dengan paparan Super AMOLED bersaiz 6.4 inci pada resolusi Full HD+ dan berjaya meraih tempat dalam hati pengguna global pada harga berpatutan dalam kelasnya tersendiri.
Galaxy A50 turut menawarkan spesifikasi menarik pada harga di bawah RM1,300 selain didatangkan dengan cip Samsung Exynos 9610 lebih pantas, keupayaan tri kamera utama dan skrin yang lebih jelas.
Meskipun dijual dengan harga bajet, namun ciri keselamatan tidak disisihkan kerana mempunyai sistem pengimbas cap jari pada skrin.
4-Oppo A9
Jangan pandang remeh dengan peranti pintar jenama itu kerana ia mempunyai spesifikasi canggih skrin 6.5 inci dengan rekaan bezel nipis dan takuk sebesar titisan air – 31.4 peratus lebih kecil berbanding varian sebelum ini.
Seperti gajet lain, A9 dilengkapi Corning Gorilla Glass 3+ yang dikatakan dua kali lebih teguh selain teknologi baharu Waterdrop Sunlight Screen.
Teknologi itu dikatakan berupaya meningkatkan kontras secara automatik sekali gus menjadikan skrin lebih mudah dilihat ketika cahaya terik.
Teknologi Blue Shield yang menapis cahaya biru juga penting bagi melegakan keletihan mata dan melindungi penglihatan pengguna.
5-Apple iPhone 11
Selain XR, iPhone 11 juga membantu menjana pendapatan Apple kerana kecanggihan cip A13 Bionic yang mendahului jenama lain dengan keupayaan CPU dan GPU yang dipertingkatkan hingga 20 peratus selain penjimatan penggunaan kuasa sehingga 40 peratus.
Kelebihan tersebut menyaksikan cip pemprosesannya lebih canggih pada era ini dan menjadikaj Apple terus mengekalkan status pengeluar telefon pintar paling berkuasa dua tahun berturut-turut.
iPhone 11 juga mampu merakam swavideo pada tetapan 4K 60FPS. Keupayaan itu menjadikannya peranti terawal yang menyokong format rakaman tertinggi setakat ini.
6-Oppo A5s
Fitur baharu Oppo A5s yang dijual pada harga kurang daripada RM600 itu lebih dikemas kini dari segi skrin lebih besar, dwikamera belakang dan cip pemproses Mediatek 6765 berkelajuan 2.3Ghz bersama RAM 3GB dan storan 32GB.
Lebih menarik, kad mikro SD dalam slot tersendiri boleh meluaskan lagi storan dalaman manakala kamera hadapan menggunakan lensa 8MP F2.0 dilengkapi mod AI Beautification.
Sistem operasi ColorOS 6 berasaskan Android 9.0 yang diguna pakai lebih terkini dilengkapi mod smart riding, smart assistance, navigasi isyarat secara langsung dan aplikasi Oppo Cloud.
7-Samsung Galaxy A20
Seperti varian Galaxy A yang lain, perincian A20 dilihat lebih padu dengan kekemasan glossy dan skrin 6.4-inci bertakuk 'V' selain dwi kamera ultra wide beresolusi 13MP + 5MP.
Kelebihan skrin Super AMOLED HD+ yang dimiliki membolehkan kaki wayang dapat menonton paparan streaming dengan lebih menarik dan menyeronokkan.
Ciri keselamatan juga menjadi tarikan apabila Galaxy A20 dilengkapi sistem pengenalan wajah untuk papan kekunci layar selain sensor cap jari yang diguna pakai sebagai kunci pendua.
8-Oppo A5
Harganya dijual pada harga RM899 di pasaran dunia. Varian terkini A5 yang dilengkapi empat kamera belakang 12MP + 8MP + 2MP + 2MP selain kamera swafoto 8MP itu boleh dikatakan antara harga gajet mampu milik.
Selain versi memori 4GB RAM dan storan 128GB, pengguna juga berpeluang untuk membeli pada harga RM699 untuk 3GB RAM dan storan 64GB.
Seperti A9, model A5 tampil dengan skrin paparan LCD berukuran 6.5 inci bersama resolusi HD+, dikuasakan Snapdragon 665 dan memuatkan bateri berkapasiti 5000mAh.
9-Xiaomi Redmi 7A
Sebagai pengganti Redmi 6A, peranti kelas permulaan 7A dilengkapi dengan skrin paparan HD+, kamera belakang 12MP dan rakaman hadapan 5MP yang mempunyai keupayaan pengecaman wajah berasaskan AI.
Seperti varian seangkatannya, Redmi 7A masih menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 439 octa-core untuk kelancaran dalaman lebih-lebih sesuai untuk kaki game!
Lebih 47 peratus pengecasan pantas, prestasi peranti pintar itu tidak mengecewakan dengan dual nano sim dan slot tambahan untuk kad mikro SD.
10-Huawei P30
Kemunculan model P30 pernah mencetuskan fenomena sebelum ini kerana didatangkan dengan keupayaan sistem super kamera yang cukup canggih, 40MP super sensing camera, 16MP lensa ultra lebar dan 8MP lensa telefoto meskipun kurang pencahayaan. Ketika itu, Huawei memang mencipta fenomena.
Jika mahu mengambil gambar bulan nun jauh beribu-ribu batu sekali pun, paparannya cukup jelas sekali dengan 30x zum digital.
Namun, kontroversi yang melanda melanda menjadikan reputasi Huawei agak terganggu. Namun di pasaran Asia, jenama tersebut terus mendapat tempat di hati peminat setianya.