ALOR SETAR - Cuaca panas tidak menghalang penduduk di Kampung Alor Serdang, Kota Sarang Semut, di sini, memancing ikan di tali air terutama pada sebelah petang.
Penduduk, Zaharah Ismail, 51, berkata, ramai penduduk termasuklah dirinya menjadikan tali air di kampung itu sebagai tumpuan untuk memancing ikan hampir setiap hari.
Menurutnya, dia tidak bimbang dengan cuaca panas melanda Kedah termasuklah daerah Kota Setar, sebaliknya memanfaatkan musim kemarau untuk menangkap ikan.
"Saya tidak kisah dengan cuaca panas sebab memang minat memancing ikan darat di tali air, apatah lagi ikan memang banyak ketika kemarau.
"Ketika musim kemarau, padi biasanya dituai dan ikan banyak dan mudah untuk ditangkap," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Pertandingan Mengail Ikan Daghat di Kampung Alor Serdang, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ramami Mat Isa, 59, berkata, dia juga tidak kisah, malah seronok memancing ketika cuaca panas.
Katanya, dia menganggap cuaca panas terbabit membawa rezeki tambahan kepada dirinya.
Menurut Kalijah Kasa, 53, dia memancing buat pertama kalinya selepas terpengaruh dengan rakan-rakannya yang kerap mengunjungi tali air itu.
"Memang seronok dan cuaca panas bukanlah halangan, apatah lagi saya mendapat hasil tangkapan ikan," katanya.
Penganjur, Mazlan Abu Bakar berkata, dia tidak menyangka pertandingan memancing anjuran Ahli Jawatankuasa Surau Al-Muttaqin, Kampung Alor Serdang mendapat sambutan hangat daripada anak kariah.
Kata beliau, tujuan aktiviti memancing di tali air diadakan untuk mengeratkan ukhuwah antara anak kariah, sekali gus bersantai pada waktu petang.
"Kita menjangkakan 20 penyertaan sahaja, namun tidak sangka menerima lebih 200 penyertaan walaupun pertama kali diadakan," katanya.
Beliau berkata, cuaca panas tidak menjadi alasan penduduk untuk melakukan aktiviti memancing yang sinonim dengan masyarakat Kedah terutamanya ketika kemarau.
"Antara ikan darat boleh ditangkap, termasuklah haruan dan puyu, malah boleh dikatakan setiap hari pasti ada memancing di tali air ini hingga memberi inspirasi kepada pertandingan itu," katanya.
Menurut beliau, terdapat pelbagai kategori dipertandingkan termasuklah ikan paling banyak, ikan paling berat, tangkapan ikan terawal serta cabutan bertuah.
Mazlan berkata, pihaknya merancang untuk memperhebatkan lagi aktiviti di surau berkenaan, selain menganjurkan memancing pada tahun depan.
Tali air di Kampung Alor Serdang menjadi tumpuan penduduk setempat.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28