KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) meraikan sambutan ke-10 Menara Felda menerusi Karnival Segalanya Felda yang berlangsung selama dua hari hingga Sabtu.
Sepanjang tempoh itu, Platinum Park Manara Felda akan dimeriahkan dengan aktiviti jualan pelbagai produk dan makanan termasuk kendera saji serta aktiviti persembahan.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, menjadi hasratnya supaya semua aktiviti keusahawanan, kebudayaan, makanan dan semua produk keluaran Felda diketahui oleh masyarakat.
Menurutnya, sebagai permulaan karnival itu diperkenalkan sebagai memberi pendedahan kepada orang ramai berkaitan hasil keluaran produk berkualiti selain menarik pelabur berpotensi.
Ujarnya, karnival itu dalam perancangan diadakan di Manara Felda secara berkala namun belum diputuskan dibuat secara mingguan atau bulanan.
"Ia bergantung kepada hasil perbincangan yang akan dibuat dan paling penting perlu mendapat sokongan dalam kalangan warga Felda itu sendiri.
"Warga Felda khususnya dalam Lembah Klang harus menunjukkan sokongan dan bekerjasama dalam merealisasikan hasrat menjadikan lokasi ini sebagai tempat beraktiviti secara berkala," katanya pada Pelancaran Karnival Segalanya Felda pada Jumaat.
Pada majlis itu turut dilancarkan galeri Felda di lobi utama serta pelancaran bilik Sekretariat Hari Peneroka Felda 2024 di B1, Menara Felda.
Ahmad Shabery berkata, operasi bangunan Felda berpindah dari Jalan Semarak ke Menara Felda, Persiaran KLCC selari hasrat meletakkan Felda setaraf dengan jenama besar lain dalam negara.
"Bangunan ini bukan hanya untuk kakitangan sebaliknya menempatkan seluruh warga Felda berkumpul dan memanfaatkan kemudahan.
"Tidak guna ada pejabat dan dewan yang besar jika tidak dapat dinikmati warga Felda.
"Kita berharap menerusi acara sampingan dan bentuk perniagaan yang akan dirangka nanti, ia akan menjadi sebahagian gaya hidup dan nilai tambah kepada Kuala Lumpur dengan menjadikan Menara Felda sebagai lokasi tumpuan hujung minggu," katanya.
Sementara itu, penganjuran Karnival Segalanya Felda sejajar dengan matlamat jangka panjang Felda ke arah pembentukan komuniti lestari di mana usahawan dan peneroka mampu menghasilkan pendapatan lain selain dari hasil ladang.
Karnival ini juga merupakan aktiviti awal bagi Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 (HPF24) yang akan berlangsung pada 12 hingga 14 Julai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 dijangka menarik 500,000 pengunjung dari seluruh negara dengan lebih 37 acara akan diadakan pada karnival itu.