TRENTON - Sebuah Mahkamah Kanada memutuskan bahawa kes pembunuhan empat ahli keluarga Islam di London, wilayah Ontario sebagai tindakan 'pengganas', lapor Anadolu.
Hakim Renee Pomerance berkata, tertuduh (Nathaniel Veltman berumur 20 tahun ) sengaja memandu traknya ke arah keluarga Afzaal yang keluar bersiar-siar pada 6 Julai 2021.
Salman Afzaal, 46, isterinya, Madiha Salman, 44, anak perempuannya, Yumna, 15, dan neneknya, Talat Afzaal, 74, terbunuh dalam serangan itu. Anak lelaki pasangan itu berusia 9 tahun cedera parah tetapi berjaya diselamatkan.
Pomerance menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas empat pertuduhan membunuh dan satu cubaan membunuh terhadap tertuduh.
"Saya memilih untuk tidak menamakan pesalah atau berkongsi kebencian yang dikongsikan dengan polis atau manifestonya. Ini kerana tindakannya merupakan aktiviti pengganas.
"Tiada tempat dalam masyarakat Kanada untuk menyemai kebencian dan perkauman sehingga mencetuskan tindakan pesalah," kata Pomerance seperti dilaporkan oleh Canadian Broadcasting Corporation (CBC).
Pomerance menambah, tidak syak lagi bahawa pembunuh itu merancang serangan itu dan kerana mereka beragama Islam.
"Tindakan pesalah telah mencetuskan ketakutan dan kemusnahan dalam masyarakat London. Dia membunuh mereka kerana beragama Islam.
Perdana Menteri, Justin Trudeau sebelum ini menyifatkan kejadian itu sebagai 'serangan pengganas' apabila suspek melanggar keluarga tersebut dengan sebuah trak lima tan pada petang 6 Julai 2021 - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28