Sultan Perak hargai usaha KPKT

Iklan
Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menghargai perhatian yang diberikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam membantu usaha-usaha menyejahterakan penduduk di negeri Perak.

Titah baginda, ia termasuklah pelaksanaan Program Sentuhan Kasih menerusi projek-projek pemuliharaan kemudahan-kemudahan awam di kawasan-kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

Iklan
Iklan

"Dalam tahun 2023, RM95 juta diperuntukkan untuk membiayai 942 projek antaranya menaik taraf pasar besar Teluk Intan, membina semula pasar awam Taiping, menaik taraf sistem pencahayaan Bandar Seri Manjung dan Lumut, menyelenggarakan kolam tadahan air Taman Muhibah Jaya Kuala Kangsar dan membina kiosk penjaja di Jalan Gapis, Seri Manjung.

"Peruntukan RM5.8 juta bagi penambahbaikan kemudahan rumah pangsa di negeri Perak juga telah diluluskan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak," titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak ke-15 di Dewan Negeri Perak di sini pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu Sultan Nazrin bertitah, daerah Kerian yang selama ini dikenali sebagai jelapang padi, bakal bertukar wajah susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan 2024 untuk membangunkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi Kerian meliputi kawasan seluas 2,400 hektar.

Titah baginda, pembukaan kawasan perindustrian tersebut berpotensi menarik minat pelabur-pelabur baharu terutama dalam sektor berteknologi tinggi yang akan memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi di utara Perak.

Iklan

Menurut baginda, pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, di selatan Perak akan menjenamakan bandar Tanjung Malim sebagai Hab Automotif Global untuk kenderaan tenaga baharu dengan jangkaan pelaburan asing bernilai RM3.2 bilion.

"AHTV diyakini akan menjadi destinasi para pelabur sektor automotif berteknologi tinggi, dijangka dapat menyediakan 15,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun yang akan memberi manfaat kepada generasi belia yang mempunyai kelayakan dalam Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Inisiatif gerak kerja awal telah dilaksanakan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama institusi-institusi pendidikan tinggi untuk menjalinkan kolaborasi strategik bersama pihak industri dalam hasrat mahu menyediakan tenaga kerja berkemahiran," titah baginda.