BUTTERWORTH - Mayat anggota bomba yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika sedang menguji enjin bot pasukan di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin dekat sini pada malam Khamis berjaya ditemui pada petang Jumaat.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, mayat Mohd Izwan Illias, 42, ditemui jam 5.32 petang selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan.
Menurutnya, mangsa ditemui dalam radius 20 meter dari lokasi terakhir berhampiran lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
"Penemuan ini hasil daripada operasi strategik yang dilaksanakan dengan kita membaca pada pergerakan arus.
"Kita kecilkan skop pencarian daripada satu kilometer ke hilir dan 500 meter ke hulu kepada radius 100 meter ke hulu dan 300 meter ke hilir sebelum anjing pengesan yang kita bawa daripada Unit K9 di peringkat awal menunjukkan tanda-tanda pengesanan dalam radius hanya 50 meter daripada lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa dikesan jam 5.30 petang oleh salah seorang anggota pasukan penyelamat yang kemudiannya disahkan Mohd Izwan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital untuk proses selanjutnya.
"Justeru, satu majlis istiadat penghormatan terakhir akan kita dilaksanakan di Kampung Pekan Darat malam ini sebagai tanda terima kasih di atas komitmen dan pengorbanan arwah khususnya JBPM,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan balu serta lima anak mangsa yang berusia antara empat sehingga 16 tahun terbela.
"Apabila hidup dalam pasukan bomba, risiko luar jangka memang tidak dapat dielakkan namun apa yang paling penting, kita akan lihat isu kebajikan keluarga.
"Pertamanya, kita akan koordinasi dengan kerajaan negeri dan melihat dalam payung kebajikan bomba,” katanya.