SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menuntut penjelasan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing susulan penamatan kontrak Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Negara, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar tanpa alasan kukuh.
Ketua Portfolio Pelancongan Seni dan Budayanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, negara bakal menyambut tahun melawat Malaysia 2026, tuduhan terhadap salah laku King Sing membimbangkan dan menggesa pihak berkaitan menyiasat perkara tersebut.
"Pemain Industri bimbang jika tiada siasatan atau kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan, dakwaan yang tersebar akan menjejaskan industri pelancongan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ammar ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat mengesahkan mengenai penamatan kontrak berkuatkuasa 24 Februari ini.
Beliau yang telah berkhidmat selama 36 tahun dalam industri pelancongan negara ternyata terkejut dan kecewa dengan tindakan King Sing.
Menurut Mas Ermieyati, dakwaan melibatkan tindakan King Sing tidak mencerminkan integriti dan standard etika diharapkan daripada seorang menteri terutama di negara yang terkenal dengan budaya kerja berbilang kaum serta harmoni.
"Tuduhan terhadap beliau merisaukan banyak pihak. Bermula daripada pelantikan rakan-rakan dan ahli keluarga ke jawatan penting dalam pejabat pelancongan adalah kesan nepotisme serta kronisme. Kedua-duanya tidak mempunyai tempat dalam kerajaan yang telus dan berasaskan merit.
"Tambahan lagi, pertukaran sewenang-wenangnya pegawai kerajaan tanpa alasan munasabah menimbulkan persoalan serius tentang motif di sebalik tindakan tersebut,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah turut menyatakan bahawa dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan adalah satu kesalahan serius yang tidak boleh diabaikan.
"Sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia dan sebarang salah urus atau penyelewengan dana boleh membawa kesan buruk kepada industri serta negara secara keseluruhannya. Adalah mustahak bahawa dakwaan sedemikian disiasat dan ditangani dengan teliti.
"Tingkah laku seorang menteri bukan sahaja mencerminkan dirinya, tetapi kepada kerajaan dan negara secara keseluruhannya. Rakyat kita berbangga dengan budaya kerja mereka yang pelbagai dan inklusif tetapi tindakan King Sing sangat bertentangan dengan nilai-nilai ini.
"Tanggungjawab kini terletak pada kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat dakwaan ini secara menyeluruh dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Integriti institusi demokrasi kita dan kepercayaan rakyat menjadi taruhan,” jelas beliau.