Bantuan MAIPK: Jangan sebar berita tidak benar

Iklan
Ahmad Faizal

IPOH - Gara-gara memuat naik status dakwaan kesukaran memohon Skim Bantuan Persekolahan 2019, seorang individu dipanggil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) bagi mendapatkan penjelasan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, status yang mempersoalkan prosedur permohonan itu telah mengundang pelbagai komen negatif daripada netizen.

Iklan
Iklan

"Hasil perbincangan itu, dia mengakui bukan dari golongan asnaf dan telah memuat naik status berkenaan berdasarkan maklumat yang tidak sahih tanpa mendapat penjelasan lanjut dari MAIPK.

"Kerajaan negeri kesal dengan perkara ini dan menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang jelas sebelum membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha kerajaan negeri di sini, hari ini.

Iklan

Menurutnya, Skim itu khusus untuk asnaf, fakir dan miskin bagi membiayai yuran persekolahan.

"Penerima bantuan sedia ada, tidak perlu mengisi borang bantuan kerana MAIPK telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri bagi urusan pengagihan bantuan cepat dan selaras.

Iklan

"Bagi permohonan baru khususnya pelajar tahun 1 dan tingkatan 1, borang permohonan bolah didapati di kaunter agihan baitulmal terdekat dan perlu hantar selewatnya 31 Januari ini," katanya.

Menurutnya, MAIPK telah selesai mengagihkan baucar persekolahan dan pembekalan peralatan persekolahan kepada 11,200 anak Asnaf, Fakir dan Miskin melibatkan perbelanjaan RM2.24 juta.

"Mana-mana individu yang prihatin dengan nasib golongan asnaf boleh bersama-sama berkempen supaya lebih ramai umat Islam yang layak membayar zakat untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Mereka boleh bantu memaklumkan kepada pihak Zakat Perak jika ada golongan asnaf tercicir didaftarkan sebagai penerima bantuan," katanya.

Sebarang masalah boleh terus berhubung di talian 05-2084000.