PEMAIN tengah Jepun, Wataru Endo bertekad untuk membantu Liverpool menjulang trofi Piala Liga sebagai hadiah perpisahan buat Jurgen Klopp yang meninggalkan Anfield pada hujung musim ini.
Liverpool bakal berhadapan Chelsea pada aksi final Piala Liga di Wembley, Ahad ini.
Menurut Endo, final tersebut amat bermakna buat dirinya kerana ia bakal menjadi kejuaraan pertamanya bersama Liverpool.
"Jika kami berjaya memenangi trofi pertama musim ini, saya fikir ia akan memberi impak sangat besar kepada pertandingan lain yang kami sertai.
"Apa pun, saya sangat teruja beraksi di Wembley tapi pada masa sama berasa sedikit terkilan kerana hanya dapat bekerjasama dengan Klopp selama satu musim sahaja.
"Jadi, saya benar-benar mahu memenangi trofi ini sebagai hadiah perpisahan buatnya,” katanya.
Selain potensi memenangi trofi Piala Liga, The Reds turut berpeluang merampas kejuaraan EPL daripada Manchester City.
Ketika ini, kelab Merseyside itu mengutip 60 mata untuk menghuni tangga teratas EPL.
Kemenangan 4-1 ke atas Luton Town pada Rabu lalu memastikan The Reds melebarkan jurang kepada empat mata ke atas City.