Padah benarkan kanak-kanak memandu

Iklan
Tangkap layar paparan kanak-kanak memandu kereta di jalan raya awam dengan seorang lelaki dewasa duduk di sebelah tempat penumpang.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang lelaki membenarkan kanak-kanak memandu kereta di kawasan taman permainan Taman Daya di sini, Ahad lalu, mengundang padah apabila dia dikenakan tindakan saman.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, lelaki berusia 25 tahun itu disaman bagi kesalahan mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan
Iklan

"Pada Jumaat sekitar jam 12 tengah hari, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, telah menerima maklumat berhubung gambar yang tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak sedang memandu kenderaan di jalan raya awam dengan seorang lelaki dewasa duduk di sebelah tempat penumpang.

"Hasil siasatan yang dijalankan, pihak IPD Johor Bahru Selatan mengesahkan kejadian berlaku Ahad lalu sekitar jam 5.30 petang di kawasan Taman Permainan Taman Daya di sini.

Iklan

"Ketika kejadian, suspek yang juga merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak tersebut telah membenarkan kanak-kanak itu memandu kereta dengan tujuan mengajarnya memandu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Raub berkata, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur-unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.

Iklan

Katanya, jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah, boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28