Kontinjen Paris 2024 kecil tapi perlu jiwa besar

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Jumaat.

ATLET ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang berpotensi menjadi kontinjen paling kecil sepanjang penyertaan Malaysia dalam temasya sukan terbesar dunia itu perlu berjiwa besar untuk mengharumkan nama negara.

Malah, penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan edisi Paris 2024 juga satu cabaran besar setelah arena sukan dunia mula beransur melepasi fasa pandemik Covid-19 selepas Tokyo 2020 lalu.

Iklan
Iklan

"Malah, atlet yang terpilih kali ini tiada keraguan kerana telah pun melepasi standard yang ditetapkan untuk menyambar slot ke Paris 2024 kali ini.

"Apa yang perlu diberikan tumpuan atlet yang telah layak ke Paris 2024 adalah menggandakan usaha untuk meraih pingat di sana kerana fasa untuk mara secara merit telah pun dilepasi mereka semua,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Iklan

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini memberikan bayangan bahawa jumlah atlet kali ini lebih kecil berbanding edisi-edisi lalu.

Saiz kontinjen mengecil selepas beberapa acara sukan seperti skuad hoki lelaki dan tiga penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng gagal mengesahkan slot ke temasya yang dijadual menyingkap tirai dari 27 Julai hingga 12 Ogos depan.

Iklan

Biarpun begitu saiz skuad kontinjen negara dijangka bertambah dengan beberapa sukan lain seperti badminton, basikal, menembak dan angkat berat masih berada dalam proses kelayakan yang dijadual diketahui pada April ini.

Nur Aisyah antara atlet negara yang mengesah kemaraan ke pentas Paris 2024 secara merit.

Pada masa sama Pekan juga menyuarakan kebimbangan apabila menegaskan penyertaan lebih kecil atlet negara juga merupakan petanda negatif tentang tahap kemajuan sukan negara pada ketika ini.

"Apabila kita hanya mampu menghantar kontinjen atlet kecil itu juga signal bahawa sukan kita berdepan kesukaran melahirkan atlet yang mampu bersaing di pentas sukan tertinggi dunia iaitu Olimpik.

"Paling malang sekiranya kita masih lagi melihat kepada slot wild card untuk sampai ke pentas Sukan Olimpik pada ketika atlet lain bersaing secara 'gentelman' meraih slot secara merit.

"Lagi malang apabila negara jiran Asia Tenggara kita pula mampu meraih pingat dalam acara sukan yang dipertandingkan kali ini,” katanya yang berharap persiapan lebih rapi untuk temasya Los Angeles 2028 dapat diperkemaskan bagi kitaran atlet generasi baharu.

INFO

Atlet Malaysia layak merit ke Sukan Olimpik Paris 2024

1. Bertrand Rhodict Lises (terjun)

2. Nur Shazrin Latif (pelayaran)

3. Johnathan Wong (menembak)

4. Ariana Nur Dania Zairi (memanah)

5. Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya)

* Setakat 23 Februari 2024