JELEBU - Kerajaan menetapkan harga maksimum penerbangan sehala bagi kelas ekonomi sebanyak RM599 dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiga hari sebelum sambutan Aidilfitri ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun ia tidak menyelesaikan keseluruhan masalahnya, namun dapat membantu lebih ramai perantau pulang ke kampung masing-masing.
"...Apabila kekurangan tiket, harga melambung naik, kita maksimumkan RM599, jadi sebarang kenaikan melebihi harga tersebut akan ditampung melalui subsidi kerajaan untuk tiga hari tersebut," katanya pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Baharu bertingkat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chun Yin Titi dekat sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata, bagaimanapun pihaknya akan meminta pandangan daripada semua pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memastikan tarikh sebenar Aidilfitri sebelum penetapan harga tiket itu dilaksanakan.
"Selain harga maksimum yang sudah ditetapkan itu, ada syarikat penerbangan seperti Air Asia yang mengambil inisiatif menetapkan harga tetap tambang lebih murah namun penerbangan hanya pada waktu malam sahaja.
"Ia akan dilancarkan pada awal Mac ini," katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai terdapat individu yang menyewa helikopter untuk pulang ke kampung pada musim perayaan, beliau berkata, ia belum menjadi norma masyarakat namun perlulah disewa daripada syarikat penerbangan yang sah dan diiktiraf sahaja.
"Sebarang bentuk penerbangan di dalam negara ini perlu mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan antaranya kapal terbang atau helikopter perlu didaftarkan.
"Mesti ada hubungan komunikasi dua hala dengan menara kawalan, tidak boleh suka-suka terbang atau mendarat di mana ia suka," jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28