KUALA LUMPUR - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengakui belum menerima sebarang respons daripada pembangkang sama ada mahu atau tidak menyertai Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadualkan bermula 29 Februari hingga 2 Mac depan.
Beliau berkata, pihaknya ada menghantar jemputan secara formal melalui surat kepada pemimpin pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, ia perlu dilaksanakan memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mengeluarkan arahan untuk berbuat demikian.
"Surat jemputan sudah dihantar, saya tak ada makluman terkini.
"Tetapi, insya-ALLAH nanti saya akan buat satu lagi kenyataan penuh,” katanya ringkas ketika sidang media Simposium KEB 2024 di salah sebuah hotel dekat sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, KEB 2024 terbuka kepada penyertaan orang ramai, usahawan, badan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana parti politik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, ia bakal melibatkan semua dewan perniagaan bumiputera iaitu Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta Orang Asli.
Kongres yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu merupakan anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi membincangkan hala tuju atau pendekatan baharu agenda pemerkasaan bumiputera lebih adil, saksama serta inklusif.
Ditanya mengenai tentatif kongres tersebut, Asyraf menjelaskan, ia akan bermula dengan amanat hala tuju daripada Pengerusi Sekretariat iaitu Ahmad Zahid dan kemudiannya pembentangan mengenai status terkini daripada segenap aspek oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum dipecahkan kepada perbincangan 10 kluster.
"Ia turut diadakan siri-siri diskusi Madani yang membawa pelbagai kelompok pemegang taruh, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penjaja dan sebagainya.
"Kongres ini juga melibatkan pemimpin parti-parti politik untuk membincangkan soal ekonomi bumiputera dari perspektif negara secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menjelaskan, pihaknya teruja apabila MARA diberikan tanggungjawab sebagai sekretariat untuk dua kluster iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan serta Daya Saing Perusahaan Bumiputera menerusi Simposium KEB kali ini.
Tambahnya, dua kluster berkenaan adalah antara yang terpenting daripada 10 kluster keseluruhannya sebelum segala rumusan pandangan diangkat sebagai resolusi di KEB minggu hadapan.
"Ia juga satu platform terakhir yang mana sebelum ini kluster-kluster tersebut selama dua bulan lebih telah pun mengadakan sesi libat urus di seluruh negara,” jelas beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28