Rally Sprint X-One: East Coast Rallying buka tirai perlumbaan musim 2024

Iklan
Muhammad Syakirin (kiri) bersama Amir Izham menyasarkan kedudukan podium dalam kejuaraan perlumbaan Rally Sprint X-One yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu di MAEPS, Serdang.

PASUKAN rali tunggal dari pantai timur, East Coast Rallying membuka tirai perlumbaan musim 2024 dalam kejuaraan perlumbaan Rally Sprint X-One yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Hadir selaku pasukan bukan pilihan, East Coast Rallying yang dipacu anak jati Kuala Terengganu, Ir Ts Muhammad Syakirin Razaki bersama bersama jurupandu arah Amir Izham dari Kota Bharu meletakkan perlumbaan ini sebagai misi penting musim ini untuk memperbaiki rekod penampilan pertama mereka musim lalu.

Iklan
Iklan

Pada kejuaraan musim lalu, East Coast Rally terpaksa akur berada di tempat ke-10 keseluruhan bagi kategori P10 setelah berdepan masalah teknikal seawal pusingan pertama perlumbaan sekali gus merencatkan catatan masa dalam perlumbaan dua hari itu.

Muhammad Syakirin berkata, bagi perlumbaan musim baharu 2024, pasukannya meletakkan sasaran untuk kembali mencipta penanda aras baharu setelah sekian lama kemarau untuk menaiki podium dengan kali terakhir di Kejuaraan Rali Terengganu pada 2018.

Iklan

"Jadi misi kami untuk perlumbaan ini untuk memperbaiki rekod pencapaian dengan catatan masa yang lebih baik berbanding musim lalu dengan penyertaan pertama di perlumbaan litar berturap. Kami juga menaruh kepercayaan pada jentera Honda Jazz GE yang ditaja sepenuhnya R&R Sports Speed Garage selaku rakan teknikal pada musim ini.

Pasukan East Coast Rallying mempertaruhkan jentera Honda Jazz GE yang ditaja sepenuhnya R&R Sports Speed Garage selaku rakan teknikal bagi siri jelajah perlumbaan rali musim ini.

"Selain itu, kami juga menyasarkan sekurang-kurangannya 6 perlumbaan rali untuk disertai di mana empat perlumbaan tersebut adalah siri jelajah Kejuaraan Rali Antarabangsa Malaysia 2024 (MIRC 2024) yang dijangka selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Iklan

Mengulas mengenai penyertaan kedua pasukannya, Muhammad Syakirin yang pernah dinobatkan selaku juara keseluruhan Kejuaraan Rali Malaysia (Kategori Junior) 2012 bersama Azmeer Yusri Yusof mengakui ia bukan cabaran mudah walaupun secara teknikal cabaran perlumbaan ini hampir sama namun setiap saat menjadi taruhan.

"Jadi kami berharap keadaan cuaca menyebelahi kami untuk memburu kejuaraan kali ini,” katanya.

Rally Sprint X-One bagi musim ini mempertaruhkan 8 peringkat cabaran (SS) dengan jarak keseluruhan sejauh 24.43 kilometer dengan 8 kategori dipertandingkan.

Sementra itu, pengarah perlumbaan Rally Sprint X-One, Roduwan Rashid berkata, pendekatan ini diambil sebagai usaha untuk merapatkan jurang serta memberi peluang di antara peminat sukan permotoran tempatan untuk hadir sebagai pelumba tanpa perlu memiliki sebuah pasukan lumba secara profesional.

"Lebih menarik, peraturan perlumbaan bagi setiap jentera lumba kategori 'Rookie Cup' itu secara tidak langsung memberi peluang sama rata buat setiap pelumba amatur walaupun hadir berlumba dengan kenderaan kegunaan harian mereka.

"Setiap pelumba amatur ini juga turut dilindungi insurans sekali gus memberi nilai tambah terbaik buat setiap peserta dalam mempamerkan prestasi terbaik mereka," katanya.

Perlumbaan yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan(KBS) serta mendapat pengiktirafan oleh badan induk sukan permotoran tanah air (MAM) itu turut mempertaruhkan kategori utama yang menjadi tumpuan pelumba-pelumba profesional tempatan dan antarabangsa sekali gus mengangkat prestij penganjuran.