Nasib baik tak pengsan menang RM1 juta

Iklan
Mohd Nazri bersama ahli keluarganya selepas memenangi RM1 juta SSP BSN ketika ditemui pemberita di sebuah restoran di sini pada Sabtu.

IPOH - Seorang warga emas tidak menyangka usaha menyimpan wang di dalam bank sejak tahun 2003 melayakkannya bergelar jutawan apabila memenangi RM1 juta Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN).

Mohd Nazri Abd Wazir, 61, yang ditemui meluahkan rasa syukur kerana terpilih untuk menerima hadiah bernilai RM1 juta itu.

Iklan
Iklan

Dia yang berasal dari Parit tidak menyangka hadiah utama itu dimenangi kerana simpanan yang dibuat sebelum ini untuk kegunaan sewaktu bersara ketika ini.

"Duit ini saya guna untuk tunai haji dan umrah bawa mak sekali. Selain itu, duit ini juga nak digunakan sebagai perbelanjaan harian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sebuah restoran di sini pada Sabtu.

Iklan

Dia yang masih bujang berkata, tabungan yang dibuat di dalam BSN selama ini berbaloi dan simpanan di dalam bank tersebut juga akan tetap diteruskan.

Mohd Nazri merupakan pesara dan pernah bekerja sebagai tukang cuci di Singapura sebelum tamat perkhidmatan dan pulang ke kampung.

Mohd Nazri (dua dari kanan bersama Mohd Nasir (kanan) dan Mahani ketika ditemui pemberita, pada Sabtu.

Iklan

Bagi pemenang hadiah RM50,000, Mohd Nasir Abdullah, 57, pula, kemenangan itu disifatkan sebagai impian jadi kenyataan.

"Ketika saya bujang memang ada angan-angan nak menang. Tak sangka pula betul-betul saya menang. Syukur pada ALLAH dan terima kasih kepada BSN.

"Dengan adanya duit ini dapatlah menampung perbelanjaan keperluan pendidikan anak-anak saya seramai enam orang," katanya.

Sementara itu, Mahani Muhammad, 56, yang turut memenangi RM50,000 menyangka panggilan untuk memaklumkan dia sebagai pemenang itu merupakan sindiket penipuan yang sedang berleluasa ketika ini.

Namun bagi mengesahkan perkara tersebut, dia yang juga seorang guru pergi ke BSN Cawangan Taiping untuk mendapatkan pengesahan itu sebelum mempercayainya.

Jelasnya wanita yang berasal dari Kelantan memaklumkan hadiah kemenangan itu akan dikongsikan bersama dua orang anaknya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28