Bekas suami antara dua ditahan kes bunuh wanita di Sibu Jaya

Iklan
Zulkipli bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu hari ini. - Bernama

SIBU - Polis menahan dua lelaki berhubung kes bunuh seorang wanita yang merupakan pembantu kedai berusia 24 tahun di Sibu Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisoner Zulkipli Suhaili berkata, tangkapan pertama pada 9.30 malam tadi melibatkan bekas suami mangsa berumur 27 tahun di sebuah rumah panjang tidak jauh dari bandar Sibu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, suspek kedua iaitu seorang penjual burger berumur 28 tahun yang mengenali mangsa ditahan pukul 9.30 pagi di sebuah lokasi di Sibu Jaya hari ini.

Menurut Zulkipli, bekas suami wanita itu yang tidak memiliki rekod jenayah telah direman selama tujuh hari mulai hari ini, manakala permohonan reman terhadap suspek kedua akan dibuat esok bagi membantu siasatan.

Iklan

Beliau berkata, suspek kedua itu mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan didapati positif saringan air kencing dadah jenis methamphetamine.

Terdahulu, polis menerima maklumat awam kira-kira 3.10 petang semalam berhubung seorang wanita ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di Sibu Jaya.

Iklan

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan, namun dilaporkan meninggal dunia pada 11.34 malam tadi.

Menurut Zulkipli, hasil siasatan dilakukan terhadap mangsa mendapati terdapat enam kesan kecederaan akibat tikaman dan polis telah merampas sebilah pisau serta pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Beliau berkata, polis menjalankan sisatan kes itu secara profesional untuk memastikan pihak yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan dan pada masa sama, meminta masyarakat supaya tidak menyebarkan berita tidak benar mengenai kejadian itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28