BEKAS pemain kebangsaan, Muslim Ahmad menafikan sudah bersara daripada bola sepak selepas dia dilihat aktif dalam sukan Muay Thai.
Menurut Muslim, dia masih mampu menyumbang kudratnya dalam sukan bola sepak selain mahu merealisasikan impiannya untuk menjulang trofi Piala Malaysia sebelum bersara.
"Jujurnya saya rasa satu benda lagi yang memang saya masih tak puas dalam bola sepak dan dah lama simpan dalam hati iaitu untuk meraih trofi Piala Malaysia.
"Jadi sebab itu saya rasa tak boleh nak berhenti lagi dan kalau boleh memang saya nak kejayaan itu dahulu”, katanya.
Pemain yang beraksi bersama Sri Pahang FC pada musim lalu kini aktif menjalani latihan dalam sukan Muay Thai sebagai persediaan menghadapi kejohanan di Kedah pada Sabtu ini.
Muslim menegaskan dia hanya mahu mencuba sahaja dan masih belum memikirkan perancangan untuk terus mengaktifkan diri dalam sukan Muay Thai.
Bahkan, dia masih menanti dan tetap bersedia untuk bersama mana-mana kelab yang menginginkan khidmatnya bagi Liga Malaysia 2024-2025 ini.
"Sebenarnya saya juga sudah biasa dengan sukan Muay Thai ini dan telah dikelilingi oleh orang-orang dari sukan ini juga sejak dari kecil jadi saya dah ada sedikit asas.
"Tetapi saya tidaklah cakap saya secara rasmi dah bersara dalam bola sepak, cumanya sekarang saya masih menunggu tawaran daripada mana-mana pasukan.
"Dan sambil menunggu, sebab itu saya ingin mencuba sukan Muay Thai dan bagus juga untuk saya sebab dapat tahu lebih dekat tentang sukan ini.
"Saya pun tak tahu berapa jauh saya boleh pergi dalam sukan ini tapi untuk kali pertama ini, saya dah berlatih dalam tujuh hari, agak mencabar juga tapi saya cubalah," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28