Doakan saya dapat 'jumpa' Alesha Ammara lebih lama

Iklan
Mohamad Amirul berswafoto di pusara Nur Alesha Ammara. Gambar kecil: Alesha Ammara

SHAH ALAM - Bapa kepada kanak-kanak yang meninggal dunia sewaktu mengerjakan umrah pada 14 Februari tahun lalu, Mohamad Amirul Zulkafly, 37, berharap dapat meluangkan masa lebih lama di pusara anaknya, Nur Alesha Ammara, 4, di Tanah Perkuburan Baqi', Madinah.

Mohamad Amirul yang juga seorang guru mengharapkan supaya orang ramai mendoakan giliran dia bagi menunaikan ibadah haji dipercepatkan.

Motosikal Yamaha LC135 V1 yang dijual.

Iklan
Iklan

"Saya harap diberikan peluang untuk berbuat demikian supaya saya boleh ziarah (kubur) arwah lebih lama kerana tempoh berada di Madinah ketika haji lebih panjang berbanding sewaktu melaksanakan umrah.

"Sejak anak meninggal dunia, hidup saya memang berubah 360 darjah. Kesedaran dan rasa ingin berkunjung ke sana (Tanah Suci) sangat kuat sehingga saya tidak pernah terfikir untuk melancong ke tempat lain walaupun berpeluang untuk berbuat demikian," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, Mohamad Amirul sekeluarga telah dijemput untuk mengerjakan umrah pada 4 Februari 2023 dan segala urusan berjalan dengan lancar dari Malaysia sehingga tiba di Tanah Suci.

Pada 12 Februari, Aleesha dikejarkan ke hospital di Madinah akibat demam dan menggigil tetapi dilaporkan sudah kembali normal setelah diberi rawatan.

Iklan

Bagaimanapun, keadaan Alesha kembali kritikal secara tiba-tiba dan terpaksa ditidurkan selama dua hari sebelum disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan jenazah kanak-kanak terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi' selepas Subuh pada 15 Februari 2023.

Mohamad Amirul ketika menziarahi pusara Nur Alesha Ammara di Tanah Perkuburan Baqi', Madinah

Dalam pada itu, Mohamad Amirul memaklumkan, dia telah menjual motosikal Yamaha LC135 V1 yang dimilikinya sejak 2011 kepada seorang penduduk di Sabah dengan harga RM5,100 bagi menampung kos untuk mengerjakan umrah kali kedua pada 17 hingga 28 Disember tahun lalu.

"Saya memang tekad nak jual walaupun banyak kenangan bersama arwah anak sebab saya selalu bawa dia dan abang bersiar-siar setiap petang dengan menunggang motosikal berkenaan.

"Pada mulanya saya berfikir mahu membayar secara ansuran kepada pihak agensi tapi berasa kurang selesa, maka saya membuat keputusan untuk mencari jalan penyelesaian selagi mampu dan inilah hasilnya apabila saya berjaya menjual motosikal selepas memuat naik iklan jualan di Facebook," jelasnya.

Mohamad Amirul dan isteri, Nor Ashwa Johalim, 34, serta Mohamad Arysh Ayden, 7, ketika menunaikan umrah kali kedua Disember lalu.

Tambah Mohamad Amirul, tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan dia dan isteri, Nor Ashwa Johalim, 34, sebaik sahaja mereka tiba di Tanah Suci buat kali kedua bersama anak lelaki sulung, Mohamad Arysh Ayden, 7 serta beberapa lagi ahli keluarga yang lain.

Ujarnya, pihak agensi memberikan mereka bilik yang menghadap ke arah Tanah Perkuburan Baqi' dan Masjid Nabawi yang boleh dilihat menerusi tingkap hotel sahaja.

"Ini adalah rezeki yang ALLAH berikan kepada kami. Setiap hari saya boleh ziarah anak (Alesha) dekat kubur tetapi di sana perempuan tidak dibenarkan masuk, jadi saya akan membuat panggilan video bersama isteri dan melambai tangan ke arah dia setiap kali saya masuk (kubur).

Pemandangan Tanah Perkuburan Baqi' dari bilik penginapan Mohamad Amirul di Madinah.

"Pintu tanah perkuburan Baqi' dibuka dua kali sehari iaitu pagi selepas Subuh dan petang selepas Asar tapi masa berlalu sangat cepat. Kalau boleh saya nak tinggal di sana (Madinah) lebih lama, harap ada rezeki untuk menunaikan haji dalam masa terdekat dan saya meminta doa daripada semua orang supaya segala urusan saya dipermudahkan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28