BERKAT keunikan suara yang lunak dan merdu ketika mendendangkan lagu 'A Woman's Worth'(Alicia Keys) melayakkan Roxy Ixzy diangkat sebagai Juara Bintang RTM 2024 pada konsert akhir pertandingan itu di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri di sini pada Sabtu.
Roxy Ixzy membawa pulang wang tunai RM78,000, satu simbolik kepada ulang tahun RTM yang ke-78 pada tahun ini selain sebuah Proton Iriz.
Naib juara, Dhania dan tempat ketiga, Hady Huv masing-masing membawa pulang wang tunai RM35,000 dan RM20,000.
Tempat keempat hingga keenam menerima RM5,000 manakala Bintang Paling Popular, Jon yang menerima 75,000 'likes', membawa pulang wang tunai RM10,000.
Hadiah-hadiah ditaja syarikat NesQ Resources Sdn Bhd, DRB Hicom, Royal Chulan Hotels & Resorts dan D&D Beauty House.
Dihoskan oleh pengacara tetap Bintang RTM 2024, Awal Ashaari dan Sissy Iman, pertandingan akhir ini menyaksikan Roxy Ixzy, Eylia Guntabid, Dhania, Hady Huv, Feka dan Joy mempamerkan kehebatan vokal masing-masing untuk diadili juri tetap iaitu Datuk Syafinaz Selamat, LY, Ernie Zakri dan Aina Abdul sebagai juri jemputan.
Pertandingan pencarian bakat Bintang RTM 2024 kembali tahun ini selepas lima tahun direhatkan.
Selama 50 tahun bertahan sejak 1973, pertandingan ini meneruskan legasi mencari dan mencungkil bakat dalam bidang nyanyian, dengan memperkenalkan 14 peserta terbaik seluruh negara.
Seramai 14 bakat muda terbaik dipilih oleh pihak penerbitan Bintang RTM 2024 dan mereka terdiri daripada peserta berusia antara 15 hingga 25 tahun. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28