HARRY Maguire mengakui kesilapan Manchester United kerana terlalu menyerang pada minit-minit terakhir perlawanan menyebabkan mereka tewas 1-2 kepada Fulham pada Sabtu.
Skuad kendalian Erik ten Hag itu mengalami tamparan hebat untuk menamatkan saingan pada kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Alex Iwobi meledak gol kemenangan Fulham pada masa kecederaan.
Pertahanan United, Maguire menjaringkan gol penyamaan menerusi penyudahnya dari jarak dekat pada minit ke-89 membatalkan gol pembukaan Calvin Bassey pada minit ke-65.
Tetapi, United yang menyerang habis-habisan untuk mencari tiga mata terkedu apabila serangan balas pantas menyaksikan Iwobi berjaya menjaringkan gol kemenangan Fulham yang menjadi kemenangan pertama di Old Trafford sejak 2003.
"Secara keseluruhan mengenai keseimbangan permainan kami tidak beraksi baik dalam 60 minit pertama. Kami memulakan permainan dengan tidak begitu baik.
"Separuh masa pertama agak sekata, tetapi apabila anda tidak bermain pada tahap terbaik, anda perlu melakukan perkara asas dengan betul.
"Untuk ketinggalan satu gol, saya fikir reaksi kami adalah cemerlang terutamanya dalam 30 minit terakhir dan apabila kami menyamakan kedudukan mungkin hanya satu pasukan yang akan memenanginya.
"Kami mungkin terlalu naif dengan terlalu ramai pemain di hadapan dan mereka melakukan serangan balas," kata Maguire.
United kini di tempat keenam, lapan mata di belakang Aston Villa yang berada di tempat keempat dalam perlumbaan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Arsenal baham Newcastle, terus himpit Liverpool, City
Dalam pada itu, Arsenal meneruskan momentum positif dalam aksi EPL apabila menewaskan Newcastle 4-1 di Emirates pada Ahad untuk merapatkan kedudukan dengan dua mata di belakang pendahulu Liverpool.
Skuad kendalian Mikel Arteta itu sebelum ini tewas 0-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Porto pada pertengahan minggu, tetapi kembali bangkit untuk melakar enam kemenangan EPL berturut-turut.
Jaringan sendiri pemain Newcastle, Sven Botman meletakkan Arsenal di hadapan sebelum Kai Havertz, Bukayo Saka dan Jakub Kiwior masing-masing meledak satu gol untuk 'membunuh' lawan.
"Kami meneruskan dengan cara yang sama, kami mengekalkan rentak dan ia adalah satu yang menggembirakan untuk menonton pasukan bermain.
"Pemain sangat bagus, agresif dan kami berhak memenangi perlawanan ini,” kata Arteta.
The Gunners menyasarkan untuk memenangi kejuaraan liga pertama dalam tempoh 20 tahun dan tidak mahu membuat sebarang kesilapan seperti musim lalu apabila City memotong mereka dalam beberapa perlawanan terakhir.
Arsenal berada pada prestasi terbaik ketika ini dan kekal di tempat ketiga, satu mata di belakang City di tempat kedua, dengan perlumbaan kejuaraan menjadi lebih menarik berbaki 12 perlawanan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28