BEKAS pengendali Oman, Branko Ivankovic dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan China, umum Persekutuan Bola Sepak China (CFA) pada Sabtu.
Ivankovic kelahiran bumi Croatia berusia 69 tahun sebelum ini menjadi pengendali Oman sejak 2020 merupakan bekas pemain tengah kelab NK Varteks menggantikan Aleksandar Jankovic.
Khidmat Jankovic kelahiran Serbia bersama gergasi Asia itu berakhir apabila China gagal menyerlah dalam pusingan akhir Piala Asia Qatar 2023 baru-baru ini selepas dilantik Februari tahun lalu
Penampilan China pada Qatar 2023 berakhir pada peringkat kumpulan A selepas sekadar meraih dua keputusan seri menentang Tajikistan dan Lubnan selepas tewas kepada penyandang juara Qatar yang mengekalkan kejuaraan mahkota awal bulan ini.
"Disebabkan kegagalan pasukan China memasuki peringkat kalah mati dalam Piala Asia, kontrak antara CFA (Persekutuan Bola Sepak China) dan Jankovic ditamatkan secara automatik..
"CFA amat berterima kasih atas kerja keras Jankovic dan pasukan kejurulatihannya serta mendoakan yang terbaik untuk mereka pada masa depan,” kata badan induk bola sepak China itu dalam satu kenyataan.
Ivankovic dilantik mengemudi China selepas melalui proses penilaian pakar selain pengalaman dalam keterlibatan memacu Shandong Luneng merangkul kejuaraan Liga Super China 2010 selepas 18 bulan berkhidmat bersama The Team of Mount Tai itu.
Beliau juga pernah melatih Iran pada pusingan akhir Piala Dunia 2006 edisi Jerman dan telah memenangi kejuaraan liga di negara asalnya Croatia serta di Iran bersama Persepolis.
Dia membawa Oman ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022, namun meninggalkan tugasannya di negara Teluk itu selepas turut tersingkir dari Piala Asia dalam fasa kumpulan pada Januari.
Sebagai rekod, Ivankovic akan mengetuai China menyingkap semula kempen kelayakan Piala Dunia berdepan sensasi Asia Tenggara, Singapura pada 21 dan 26 Mac depan.
Kerajaan China bercita-cita besar membangunkan pasukan kebangsaan, namun kini merosot di tempat ke-88 dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) - kedudukan yang sama diduduki sedekad lalu.
Sebagai rekod, China hanya layak ke Piala Dunia sekali, ketika membuat penampilan sulung di pusingan akhir pada 2002.
China kini berada di tangga ketiga Kumpulan C pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 /Piala Asia 2027 selepas dua perlawanan, mengekori pendahulu Korea Selatan dengan tiga mata.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28