Sinar Harian rangkul dua Anugerah Media Perak

Iklan
Wartawan Sinar harian, Normawati Adnan (dua dari kanan) menang di tempat kedua bagi Berita Sukan Terbaik dengan laporan 'Anak pemandu lori raih emas sukan dunia di Berlin' yang disiarkan pada 22 Julai tahun lalu.

IPOH - Sinar Harian berjaya merangkul dua Anugerah Media sempena Makan Malam Media Perak bersama Menteri Besar yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Sabtu.

Wartawan, Normawati Adnan memenangi tempat kedua bagi kategori Rencana Terbaik menerusi laporan 'Pertempuran bagai buku bertemu ruas'.

Iklan
Iklan

Rencana yang diterbitkan pada 26 November 2023 itu memaparkan pengalaman yang sukar dilupakan Komander Skuadron Delta 69 Komando, Deputi Superintenden Mazlan Mohamed ketika mempertahankan tanah air dalam tragedi berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Wartawan sama turut menang di tempat kedua bagi Berita Sukan Terbaik dengan laporan 'Anak pemandu lori raih emas sukan dunia di Berlin' yang disiarkan pada 22 Julai tahun lalu.

Iklan

Laporan berita itu antara lain mengisahkan perjuangan Nur Asliza Mohd Sapri, 18, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Pasir Puteh yang menunjukkan prestasi menggagumkan dalam acara lontar peluru meskipun baru pertama kali menyertai kejohanan dunia.

Anugerah Media Perak yang julung kali diadakan itu telah mendapat lebih 90 penyertaan dari semua agensi media di negeri ini.

Iklan

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Berita Terbaik, Rencana Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik, Sukan Terbaik, Anugerah Audio Visual Terbaik dan Foto Terbaik.

Semua hadiah disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad diiringi Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin.

Saarani menyantuni warga media sempena Makan Malam Media Perak bersama Menteri Besar yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Sabtu.

Turut hadir Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Mohd Azlan Helmi dan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesham Syed Idris.

Saarani dalam ucapannya berkata, media menjadi medium terbaik dalam menerima maklum balas rakyat sekali gus membantu kerajaan negeri dalam menilai dan meningkatkan pelaksanaan dasar dan program yang telah dirancang.

"Bagi saya media bukan sekadar rakan strategik, malah memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan prinsip semak dan imbang itu sentiasa wujud dalam perjalanan serta tatakelola pentadbiran kerajaan," katanya.

Menurut beliau, pandangan kritis dan idea bernas yang disuarakan menerusi laporan-laporan media perlu diterima dan kerajaan harus terbuka dengan teguran itu supaya penambahbaikan dapat diterapkan dalam urusan pentadbiran.

"Ada kalanya saya dipuji, ada kalanya saya dikritik. Namun, bagi saya itulah asam garam yang dilalui orang politik.

"Sama ada laporan yang keluar selepas itu berupa pujian, kritikan atau teguran, ia sentiasa menjadi pedoman untuk saya menjadi seorang pemimpin yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Sayed Mohd Hesham berkata, penganjuran anugerah media ini amat besar maknanya buat semua petugas media.

"Bukan sekadar meraikan media, tetapi turut mengiktiraf kerjasama serta sumbangan pengamal media Perak yang selama ini banyak membantu dalam menyebar luas liputan dan publisiti mengenai kerajaan negeri," katanya.

Majlis turut meraikan rakan media yang sudah bersara iaitu bekas jurugambar Utusan Malaysia, Zulkarnain Mohd Saidin; Lam Koon Yeu (jurukamera TV3) dan P Chandra Sagaran (wartawan The Sun) mengambil kira sumbangan bakti sebagai pengamal media sejak berpuluh tahun di Perak.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28