Saya tiada kepentingan untuk jatuhkan Anwar - Hassan Karim

Iklan
Hassan

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau tiada agenda atau kepentingan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menggesanya untuk memberi penjelasan isu kejatuhan ringgit dalam sidang Parlimen pada Selasa ini.

Beliau juga tidak takut untuk terus mengkritik Kerajaan Perpaduan walaupun merupakan wakil rakyat dalam kerajaan kerana perlu jujur sekiranya perlu membuat teguran membina supaya dapat memperbetulkan kesilapan.

Iklan
Iklan

"Saya tidak takut untuk kritik Perdana Menteri dan kerajaan jika saya perlu bersuara. Saya tiada kepentingan untuk jatuhkan Anwar, tegur untuk kebaikan. Saya tidak cakap retorik. Perdana Menteri perlu beri penjelasan di Parlimen apakah langkah-langkah kerajaan mengatasi kejatuhan ringgit.

"Pada masa sama saya juga tidak takut untuk beri pujian, kredit dan iktiraf Perdana Menteri dan kerajaan. Saya perlu adil, misalnya dalam konteks kejatuhan ringgit, banyak pihak kritik Anwar tetapi tidak menyedari keadaan pada masa kini berbeza. Contohnya kejatuhan ringgit pada 2024 berbeza dengan keadaan kejatuhan ringgit pada tahun 1998.

Iklan

"Ketika ini kadar dasar semalaman (OPR) hanya 3 peratus dan inflasi pula 1.5 peratus berbanding kadar OPR pada 1998 10 peratus dan inflasi 5.3 peratus," kata Hassan mengulas gesaannya pada Selasa menuntut Anwar memberi penjelasan berkenaan kejatuhan ringgit yang sangat teruk ketika ini.

Anwar pada Jumaat menegaskan tidak sewajarnya membandingkan prestasi ringgit dengan tahun 1998, malah perlu dilihat daripada semua aspek yang telah meningkatkan ekonomi negara.

Iklan

Terdahulu Hassan hadir di Rumah Berhala Leng Suah Chee, Bandar Seri Alam di sini sempena sambutan Chap Goh May dan aktiviti Tahun Baharu Cina.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun ringgit mengalami kejatuhan ketika ini tetapi jumlah pelaburan yang diterima sejak Anwar menjadi Perdana Menteri adalah tinggi walaupun pelbagai skandal kewangan menggugat kepercayaan pelabur.

Kata Hassan, antaranya skandal kewangan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), projek Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) dan Spanco Sdn Bhd.

"Bukan orang luar tak percaya Anwar tetapi sistem ekonomi kita yang dicemari dengan kes-kes seperti ini. Orang UMNO dan BN yang kritik Anwar (kerana kejatuhan ringgit), isu 1MDB adalah puncanya," ujarnya.

Walaupun keyakinan pelabur goyah disebabkan kes-kes rasuah tersebut katanya, pelaburan yang diterima Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah tinggi iaitu RM329.5 billion berbanding semasa pemerintahan dua bekas Perdana Menteri sebelum ini iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (RM264.6 bilion) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM193.7 bilion).

Pada masa sama katanya, kadar pengangguran ketika ini juga rendah iaitu pada kadar 3.4 peratus berbanding zaman pemerintahan Ismail Sabri (3.8 peratus) dan Muhyiddin (4.8 peratus).

Sementara itu, berkenaan perbincangan antara Anwar dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkenaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di negeri ini pada 28 Februari ini, beliau berharap, Johor akan mendapat banyak manfaat dalam keadaan ringgit lemah dan dolar Singapura tinggi.

"Ada pro dan kontranya (kejatuhan ringgit). Positifnya perniagaan akan bertambah baik bila pelancong datang. Tetapi jangan kita terlalu longgar (terlalu mudah menerima pelaburan luar kerana) terdapat isu-isu yang perlu ditangani misalnya daripada segi visa, pas masuk dan keselamatan.

"Dalam kita galak menarik pelabur dari Singapura atau negara lain, jangan biarkan pelabur luar menguasai pelaburan di Johor, jangan dimonopoli pelabur asing dan rakyat akan terjejas, perkara ini perlu diurus dengan baik," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28