[VIDEO] SPRM semak notis merah jejak lokasi menantu Muhyiddin

Iklan

MERSING - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat semakan notis merah terhadap menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap Muhammad Adlan, 48, dan peguamnya Mansoor Saat, 69, pada Oktober tahun lalu.

Iklan
Iklan
AZAM BAKI

"Usaha masih dijalankan, SPRM telah memohon kepada PDRM untuk disenaraikan sebagai orang dikehendaki oleh Interpol. SPRM masih berusaha, bukan dia seorang tetapi juga peguamnya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Mersing dan Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Jubli Intan Mersing pada Ahad.

Azam ( tengah) bergambar pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Jubli Intan Mersing pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias dan Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah.

Iklan

Pada Khamis, Azam Baki dilaporkan mengesahkan siasatan ke atas Muhammad Adlan sudah dilengkapkan.

Beliau berkata, Muhammad Adlan belum dapat dikesan dan masih tidak pulang ke tanah air setelah bertindak keluar dari Malaysia pada Mei tahun lalu.

Muhammad Adlan perlu kembali ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan oleh SPRM membabitkan kes pecah amanah jenayah (CBT).

Pada Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk permohonan notis merah terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat.

Beberapa dokumen termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu terlibat telah diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah.

Tindakan memanggil Muhammad Adlan dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Semakan rekod oleh SPRM mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28