'Jaga kehadiran, jalankan perbahasan dengan beretika'

Iklan
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menghadiri sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Jemaah Menteri pada sesi perbincangan selama kira-kira tiga jam bermula 9.30 pagi itu.

Iklan
Iklan

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika dihubungi berkata, Perdana Menteri dalam taklimat itu menekankan supaya anggota Parlimen menjaga kehadiran dan menjalankan perbahasan dengan beretika.

"Perdana Menteri ingatkan kehadiran, perbahasan mesti baik dan berasas...taklimat lain adalah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Iklan

"Ia berkaitan soalan dan rang undang-undang (RUU) dan Perdana Menteri juga ingatkan jaga korum (di Dewan Rakyat),” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Sarawak.

Titah sulung Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lepas, bakal menjadi tumpuan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, esok.

Iklan

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 19 hari dengan tumpuan pada perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perdana Menteri turut mengingatkan semua ahli Parlimen untuk terus memainkan peranan semak dan imbang sepanjang sesi Dewan Rakyat.

"(Anwar) turut pesan supaya semua fokus isu-isu kepentingan rakyat dan menyuarakan isu dan permasalahan kawasan,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena sesi taklimat berkenaan.

Beliau berkata, anggota Parlimen juga telah diminta mengambil bahagian berbahas dengan melaksanakan persiapan rapi. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28