'Jaga kebersihan tandas jika mahu lesen perniagaan diluluskan' - Kor Ming

Iklan
Nga Kor Ming (kiri), Tangkap layar hantaran Nga Kor Ming menerusi aplikasi X pada Ahad

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming memberi peringatan kepada semua premis makanan dan minuman (F&B) di kawasan bandar raya supaya menjaga kebersihan tandas mengikut standard ditetapkan iaitu bersih, menawan serta wangi (BMW).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, teguran tersebut dibuat bagi memastikan pemilik perniagaan berkenaan sentiasa mematuhi arahan yang diberikan jika tidak mahu permohonan memperbaharui lesen perniagaan mereka ditolak.

Iklan
Iklan

"Demi menjaga kebersihan awam, pada Januari 2023 KPKT telah umumkan semua pengusaha F&B dalam kawasan bandar raya perlu pastikan tandas bertaraf BMW. Mulai 1 Januari 2024 lesen perniagaan tidak akan diluluskan jika tandas kotor. Ingat jangan tak ingat!," katanya menerusi satu hantaran di aplikasi X pada Ahad.

Sebelum ini, Naib Pengerusi DAP itu memaklumkan ketetapan tersebut diputuskan melalui mesyuarat Kabinet pada 2 Februari lalu dan akan membabitkan semua jenis premis F&B termasuk restoran, hotel serta warung.

Iklan

Beliau berkata, syarat yang ditetapkan ialah perlu mendapatkan persijilan bertaraf A bagi kebersihan tandas di semua kedai makan di bandar raya seluruh negara bermula tahun ini.

Menurut Kor Ming, pensijilan untuk tandas yang mematuhi konsep BMW dijangka akan membabitkan kira-kira 18,000 tandas awam menerusi majlis perbandaran dan majlis daerah masing-masing pada 2025 hingga 2026.

Iklan