KAJANG - Lima lelaki yang ditahan berkaitan kes lelaki diikat dan dipukul sehingga maut di Taman Pelangi, Semenyih 2 dekat sini 20 Februari lalu disambung reman empat hari lagi untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek yang diberkas sebelum ini telah disambung reman untuk siasatan lanjut.
"Kelima-lima suspek disambung reman empat hari sehingga 29 Februari ini," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan dua individu lagi berumur 22 dan 39 tahun telah direman sehingga 28 Februari ini bagi siasatan lanjut berhubung kejadian.
Selasa lalu, seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dipukul hingga maut.
Kejadian tragis itu berlaku selepas lelaki berusia 42 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga terbabit dalam kemalangan dengan penghantar makanan.
Sejurus kemalangan itu, mangsa dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28