'Tiada kompromi terhadap individu mengaku keturunan Rasulullah' - Exco

Iklan
Laporan Sinar Harian. Mohamad Fahmi (kanan).

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menimbulkan keraguan dan fitnah dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini termasuk mengaku berketurunan Rasulullah SAW.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah, kerajaan negeri juga sentiasa bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia dalam membendung perkara sedemikian.

Iklan
Iklan

"Malah kerajaan negeri juga sedang mengusahakan satu tindakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang kemasukan anasir-anasir sebegini ke Selangor," ujarnya kepada Sinar Harian pada Ahad.

"Saya ingin mengingatkan umat Islam di Selangor agar terus berwaspada dan berhati-hati dengan pengakuan atau kenyataan mana-mana individu yang mengaku dirinya berketurunan Nabi Muhammad atau Ahlul-Bayt, khususnya Mawla Mohamed Amin Al-Hassani yang mendakwa beliau adalah cicit Rasulullah SAW," ujarnya lagi.

Iklan

Beliau sehubungan itu menggesa agar umat Islam khususnya di Selangor merujuk kepada pandangan rasmi Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) atau Jabatan Mufti Negeri Selangor dan jangan mudah terpedaya dengan pengakuan-pengakuan sedemikian.

"Kita hidup pada waktu maklumat boleh diperoleh di hujung jari. Kita sudah ada agensi-agensi agama Islam rasmi negeri untuk memudahkan masyarakat membuat aduan dan mendapatkan rujukan atau panduan tentang perkara sebegini," ujarnya.

Iklan

Ujarnya lagi, seandainya rujukan-rujukan rasmi itu tidak dibuat, maka umat Islam akan mudah diperdaya, dipengaruhi, dimanipulasi dan akan mudah taksub dengan pihak-pihak tertentu.

Beliau turut menyeru semua umat Islam agar dapat kembali kepada asas ilmu dan fakta agar kesucian agama Islam itu dapat dikekalkan dan dihormati.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28