Nurul Izzah tamat kemarau 12 tahun, rangkul emas keirin wanita

Iklan
Nurul Izzah mencipta sensasi dengan menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) apabila muncul juara edisi 2024 di New Delhi, India, pada Ahad. - Gambar fail Bernama

PELUMBA bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta sensasi dengan menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) apabila muncul juara edisi 2024 di New Delhi, India, pada Ahad.

Pelumba berusia 20 tahun itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk mengatasi Tong Mengqi dari China yang merangkul perak manakala seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi melengkapkan kedudukan podium menerusi pingat gangsa dalam saingan berlangsung di Velodrom Indira Gandhi.

Iklan
Iklan

Kejayaan Nurul Izzah pada hari kelima kejohanan menyaksikan beliau menambah lagi pungutan pingat selepas meraih gangsa acara pecut wanita Jumaat lepas dan perak pecut wanita berpasukan bersama Anis Amira dan Nurul Aliana Syafika Azizan, Rabu lalu.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas keirin wanita adalah pada edisi 2012 di Velodrom Cheras, di sini menerusi Fatehah Mustapa. - Bernama

Iklan

Iklan