PEMAIN Liverpool menjulang trofi pertama musim ini selepas mengalahkan Chelsea dalam perebutan Piala Liga Inggeris (EPL) di Stadium Wembley pada Ahad.
Jaringan tunggal Virgil van Dijk pada babak kedua masa tambahan sudah memadai untuk The Reds mencipta rekod kejuaraan kali ke-10 sekali gus hadiah perpisahan bermakna buat Jurgen Klopp.
Pengendali dari Jerman itu sebelum ini sudah mengesahkan bakal meninggalkan Anfield pada penghujung musim.
Lebih membanggakan Klopp apabila skuad yang menjulang kejuaraan EFL musim ini bukanlah yang terbaik kerana tidak menyenaraikan beberapa tonggak utama akibat kecederaan.
Alisson Becker, Mohamed Salah, Trent Alexander -Arnold, Curtis Jones, Darwin Nunez dan Diogo Jota antara yang diketepikan membuatkan Liverpool beraksi di pentas final dengan status underdog.
Susulan itu pemain-pemain muda seperti Bobby Clark (19), James McConnell (19), Jayden Danns (18) dan Jarell Quansah (210 dimasukkan di babak kedua perlawanan.
"Gila! Kelab ini dipenuhi dengan pemain akademi yang penuh karakter.
"Mereka tahu apa yang saya inginkan dan malam ini mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik," ujar Klopp.
Sementara itu, penyerang Cody Gakpo berkata dia dan rakan sepasukan berusaha untuk memenangi final tersebut sebagai 'token' perpisahan buat Klopp.
"Inilah hadiah perpisahan yang indah buat Klopp dan sudah tentu kemenangan ini menyuntik motivasi kami untuk meraih kejuaraan EPL (Liga Perdana Inggeris)," katanya.
Ketika ini, Liverpool berada di puncak EPL dengan 60 mata dab berpeluang merampas kejuaraan daripada penyandang juara, Manchester City yang menghimpit di tangga kedua dengan hanya dipisahkan satu mata.
Selain trofi EPL, Liverppol turut berpeluang menjulang trofi Piala FA apabila tampil di pusingan kelima menentang Southampton di laman sendiri pada Khamis ini.
"Sudah tentu ia pasti menjadi hadiah paling bermakna buat Klopp jika kami dapat tiga trofi musim ini," tambah Gakpo.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28