JERTIH - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan lima kes sengatan ubur-ubur berbisa membabitkan empat kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dan seorang lelaki di Pantai Bukit Keluang, di sini, pada Jumaat dan Sabtu.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesemua mangsa termasuk lelaki berusia 33 tahun yang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Besut telah disengat ubur-ubur dipercayai daripada spesies Physalia Physalis atau dikenali sebagai ‘Portuguese Man of War’.
"Kesemua lima pesakit adalah pengunjung Pantai Bukit Keluang dan telah mendapatkan rawatan apabila mendapat kesan sakit dan merah di bahagian badan yang terlibat.
"Mangsa termasuk kanak-kanak telah dirawat di zon hijau dan didapati kesemua mereka mengalami reaksi setempat di kawasan jari dan pergelangan tangan. Kesemua pesakit juga telah dibenarkan pulang setelah pegawai perubatan mendapati keadaan mereka stabil,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, mangsa lelaki dewasa itu datang ke hospital berkenaan lewat malam semalam setelah disengat hidupan marin itu ketika menarik jala ikan di pantai yang sama.
Dr Kasemani berkata, mangsa mengalami kesakitan di lengan dan gejala muntah akibat sengatan tersebut namun beliau terpaksa dibenarkan pulang atas risiko sendiri kerana enggan dimasukkan ke wad.
"Sekiranya disengat ubur-ubur yang tidak diketahui spesiesnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan air panas dengan julat suhu 45 darjah Celsius selama 30 minit untuk melegakan kesakitan dan segera mengunjungi fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28