Seorang maut, tiga cedera nahas dua kereta

Iklan
Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Ladang Gomali, Ladang Gomali pada malam Ahad. Foto BBP Segamat

SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 205 Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran Ladang Gomali di sini, pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 11.40 malam berhubung kemalangan berkenaan yang melibatkan sebuah kereta Perodua Viva dan Proton Preve.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Viva yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Batu Anam.

"Ketika melalui laluan ini, kereta Perodua Viva tersebut telah memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kereta Proton Preve yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun dan dipercayai dalam perjalanan dari Batu Anam ke Segamat.

Iklan

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang memandu kereta Perodua Viva telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Proton Preve dibawa ke Putra Specialist Hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Difahamkan dua penumpang Proton Preve turut mengalami kecederaan.

Iklan

Ahmad Zamry berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa dari kereta Perodua Viva. Foto BBP Segamat

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan1 Khas Untuk Penyandang (KUP), Mansor Mohamad berkata, satu jentera Fire Rescut Tender (FRT) dengan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melibatkan enam anggota bomba dari BBP Segamat telah dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya PKO ke lokasi didapati terdapat seorang mangsa, iaitu pemandu kereta Perodua Viva yang tersepit. PKO kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan rescue tools, bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.

"Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa-mangsa lain dari kereta Proton Preve telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital berhampiran. Operasi ditamatkan pada jam 12.16 tengah malam,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28