KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta orang ramai lebih berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu perkara termasuk dakwaan kononnya Pasar Siti Khadijah di sini lengang dan tiada pengunjung.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pihaknya sudah mendapat laporan keadaan sebenar di pasar berkenaan dan didapati maklumat disebarkan tidak tepat seperti yang dikatakan dalam rakaman video tular tersebut.
Menurut beliau, pihaknya sendiri juga bertemu dengan perniaga kuih di pasar itu yang mengakui hanya berseloroh mengatakan pengunjung tidak datang ke Pasar Siti Khadijah kerana melancong ke Hatyai, Thailand.
"Dakwaan dalam rakaman itu didapati bercanggah dengan keadaan sebenar dan kesesakan trafik di kawasan pasar tersebut.
"Ramai yang beritahu sukar hendak ke Pasar Siti Khadijah kerana kesesakan lalu lintas, itu bermaksud dakwaan Pasar Siti Khadijah tak ada orang adalah tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN:Video tular Pasar Siti Khadijah bukan gambaran sebenar
Majlis dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan turut dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung.
Beliau sekali lagi dengan tegas menafikan dakwaan tersebut dan berharap orang ramai untuk turut sama membantu mempromosikan pelancongan di Kelantan.
"Sebenarnya waktu pagi memang ramai orang, waktu petang barangan pun sudah habis dan rakaman itu dibuat pada waktu petang, boleh pergi lihat sendiri keadaan pada sebelah pagi.
"Sepatutnya, pemilik video itu lebih berhati-hati dan bantu kerajaan lebih-lebih lagi jika dia orang Kelantan. Saya tidak menolak mungkin ada motif politik pihak yang tidak senang dengan keadaan baik di Kelantan,” katanya ketika memberi maklum balas mengenai video dirakam seorang lelaki pada Ogos tahun lalu yang kembali tular di media sosial baru-baru ini.
Sabtu lalu, tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata peniaga gembira menjalankan perniagaan terutama pada musim perayaan atau cuti persekolahan berikutan ramai pelancong membeli kuih-muih di pasar berkenaan.