KUALA LUMPUR - Polis belum menerima sebarang permohonan berhubung penganjuran Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus di Parlimen di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya mengesan poster tular di media sosial berkaitan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan itu, pada Ahad.
"Dalam poster itu, orang ramai diseru dengan berhimpun di Tugu Negara dan kemudian berarak ke Parlimen.
"Setakat ini, polis tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 daripada mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, himpunan tanpa pemberitahuan adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28