Sultan Ibrahim sokong hasrat kerajaan segera ambil langkah penjimatan

Iklan
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan beramah mesra bersama ahli Parlimen selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri). Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menyokong hasrat kerajaan untuk segera mengambil langkah penjimatan, termasuk melaksanakan pemberian subsidi secara bersasar.

Seri Paduka Baginda bertitah, kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar dan berada dalam kedudukan defisit fiskal sejak 1998.

Iklan
Iklan

"Keadaan kewangan yang lemah ini akan menyukarkan kerajaan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di sini, pada Isnin.

Ini termasuk pengenalan Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang merupakan satu langkah pembaharuan bagi meningkatkan urus tadbir pengurusan kewangan awam supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

Iklan

"Saya juga akan meneliti perbelanjaan kerajaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.

"Semasa pemerintahan saya ini, saya juga berharap kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun," titah Sultan Ibrahim.

Iklan

Seri Paduka Baginda juga bertitah, meminta kerajaan bersikap tegas bagi membendung ketirisan dan penyelewengan dana awam.

Malah, titah Sultan Ibrahim, sebarang kelemahan urus tadbir di semua peringkat perlu diperiksa, termasuk di peringkat badan berkanun, syarikat milik kerajaan serta anak-anak syarikat. - Bernama

________________________________________________________________________________________________________________

Kerajaan harus ambil pendekatan proaktif laksana agenda pembaharuan - Agong

KUALA LUMPUR- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kerajaan harus mengambil pendekatan yang proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing negara.

Dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah, ini penting bagi memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah ekonomi mampan sejajar dengan keperluan semasa.

Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan bertemu ahli Dewan Rakyat selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Foto Bernama

"Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap dan dasar yang dibuat di peringkat Persekutuan.

"Ini juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran di negeri-negeri kerana setiap negeri mempunyai keadaan yang berbeza, terutama dalam sektor pembangunan hartanah,” titah Sultan Ibrahim.

Seri Paduka Baginda bertitah peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi dalam negara juga telah melahirkan ramai graduan yang bermutu tinggi. Namun, peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan yang mereka miliki.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah kerajaan perlu berusaha menarik pelaburan bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan yang dihasilkan akan memberi pendapatan yang berpatutan.

Selain itu, Seri Paduka Baginda bertitah, tahun lepas menyaksikan kedudukan ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 3.7 peratus dan kekal mampan walaupun prestasi pertumbuhan ekonomi serta perdagangan global berada pada tahap sederhana.

Kadar pengangguran negara pula berada pada tahap 3.3 peratus dan kadar inflasi sebanyak 2.5 peratus. Jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM329.5 bilion dan telah mencipta lebih 127,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama, titah Seri Paduka Baginda.

Bagi perdagangan antarabangsa pula, Sultan Ibrahim bertitah, eksport negara telah mencatat nilai sebanyak RM1.426 trilion pada 2023 manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 dianggarkan antara empat peratus hingga lima peratus disokong oleh langkah dan pembaharuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024.

"Sebagai langkah jangka sederhana, kerangka Ekonomi Madani bagi memperkasa rakyat yang telah dilancarkan adalah komitmen kerajaan untuk merancakkan serta menstruktur semula aktiviti ekonomi dan pelaburan.

"Selari dengan hasrat ini, kerajaan juga telah merangka Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2024 untuk mengangkat taraf hidup rakyat ke tahap yang lebih tinggi berlandaskan keadilan sejagat," titah Sultan Ibrahim. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28