KUALA LUMPUR - Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan menjalankan siasatan terhadap anggota juruiring bermotosikal yang menahan aliran trafik membabitkan kenderaan berat secara tiba-tiba.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sudah mengarahkan JIPS untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
"Pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sudah menyerahkan kes berkenaan kepada Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Justeru, Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerusi JIPS akan menjalankan siasatan dan tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, pada Isnin.
Kejadian itu tular selepas satu klip video berdurasi 35 saat dipercayai rakaman kamera papan pemuka kenderaan berat berkenaan dimuat naik di media sosial.
Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan tindakan juruiring terbabit sebagai berbahaya memandangkan kenderaan berat secara amnya memerlukan jarak sesuai untuk memberhentikan kenderaan.
Tindakan memberhentikan kenderaan secara tiba-tiba dikhuatiri boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya atau lebih parah berlaku kematian.
Berdasarkan tarikh pada rakaman, kejadian dipercayai berlaku pada Selasa lalu di susur keluar sebuah lebuh raya.
Video berkenaan yang dikesan tular sejak Jumaat kini sudah mencecah jutaan jumlah tontonan di media sosial.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28