Tourism Malaysia jangka lebih ramai pelancong Indonesia tahun ini

Iklan
Orang ramai meluangkan masa beriadah di Taman KLCC sempena cuti umum. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Tourism Malaysia menjangkakan kedatangan lebih ramai pelancong dari Indonesia tahun ini, sempena kempen melawat negeri 2024 di Melaka, Kelantan, Perak dan Perlis.

Menurut Tourism Malaysia, lebih 3.1 juta pelancong Indonesia berkunjung ke Malaysia tahun lepas sekali gus meraikan pertukaran budaya dan persahabatan antara kedua-dua negara.

Iklan
Iklan

"Kempen ini merupakan persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan untuk menarik 35.6 juta pelancong asing, dengan sasaran hasil sebanyak RM147.1 bilion," menurut Tourism Malaysia dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut agensi itu, Indonesia kekal sebagai pasaran penting bagi Malaysia, dan dengan penerbangan harian dari Jakarta yang disediakan oleh syarikat penerbangan Garuda Indonesia, terdapat keyakinan untuk memulihkan prestasi prapandemik dan meningkatkan hubungan dua hala.

Iklan

Sementara itu, Tourism Malaysia turut menganjurkan lawatan pengenalan untuk rakan dagang perjalanan dan media dari Indonesia untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi digemari pelancong di rantau ini dengan kerjasama Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) dan Garuda Indonesia.

Kumpulan yang terdiri daripada tujuh ejen pelancongan dan satu wakil media dari Jakarta memulakan perjalanan empat hari, tiga malam ke Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 4 hingga 7 Februari lepas.

Iklan

Jadual perjalanan itu merangkumi lawatan pemeriksaan Mesyuarat, Inisiatif, Persidangan dan Pameran (MICE) di lokasi terkenal seperti Pusat Dagangan Dunia, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Le Meridien Hotel Putrajaya, Hotel InterContinental, Four Points Hotel, Renaissance Hotel dan lawatan bandar.

Di Putrajaya, peserta merasai pengalaman di Souq Putrajaya dan menikmati pelayaran matahari terbenam berserta pelbagai aktiviti menarik lain.

Selain itu, lawatan tersebut turut merangkumi beli-belah di Exchange 106 @ TRX dan Mitsui Sepang KLIA, serta lawatan pemeriksaan separuh hari ke Taman Tema Splashmania dan Sunway Lagoon bagi merasai tarikan terkini.

Lawatan pengenalan tersebut bermatlamat menggalakkan ejen pelancongan Indonesia, terutamanya yang memfokuskan kepada segmen MICE untuk mempromosikan pakej ke Malaysia secara aktif.

Hal itu menunjukkan kepentingan pasaran Indonesia kepada industri pelancongan Malaysia, menekankan pertumbuhan ketara dalam kedatangan pada 2023 dan kesalinghubungan yang kuat dengan 628 penerbangan terus setiap minggu dari Indonesia ke Malaysia. -Bernama

Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28